Di Sebalik Arahan Sokong PN, Ahli PAS Tetap Bantu Jentera BN

MELAKA: Walaupun PAS bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), namun itu tidak memutuskan semangat ahli akar umbi itu untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) menerusi persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menerusi tinjauan The Rakyat Insight ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, kelihatan sekumpulan ahli-ahli PAS membantu rakan-rakan UMNO memasang bendera BN bagi calon di situ, Datuk Rahman Mariman.

Untuk rekod, Rahman merupakan penyandang di kerusi yang sama dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di Ayer Molek.

Pemimpin PAS setempat, Mohd Baikhaki Basiran dalam masa yang sama meluahkan rasa sedikit kecewanya dengan ketetapan parti yang memilih PN berbanding mengukuhkan gabungan Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.

Malah beliau tidak menafikan lebih memilih kepada Rahman yang disifatkan sebagai sangat bertanggungjawab kepada masyarakat setempat.

“Untuk ini, saya memilih calon, sebab kita dah tahu bagaimana cara kerja. Kita dah rasa serasi dan kita tahu boleh buat kerja siang malam.

“Saya selaku orang PAS, yang telah bekejasama dengan ADUN Ayer Molek ini selama setahun setengah di dalam MN dah nampak keserasian. Kita anggap sebagai abang dan adik sentiasa bekerjasama dalam apa aspek sekalipun.

“Malah saya sendiri dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa JPKK atas kepercayaan diberikan YB walaupun saya org PAS,” katanya ketika ditemui The Rakyat Insight, baru-baru ini.

Mohd Baikhaki juga menegur pimpinan atasan PAS yang dilihat seolah-olah enggan mendengar suara akar umbi yang lebih banyak menggerakkan kerja-kerja di dalam kerjasama MN.

“MN takkan sekerat jalan je? Sedangkan MN demi kebaikan masyarakat Melayu. Saya rasa kecewalah. Sepatutnya pimpinan atasan melihat suara akar umbi sebab yang menggerakkannya adalah akar umbi. Bila tanpa akar umbi tidak ada pokoknya. bila berlaku keadaan begini, yang susahnya adalah akar umbi,” katanya.

Mohd Baikhaki mula bergiat di dalam PAS sejak tahun 1998.

PN meletakkan calonnya, Mohd Fadly Saminan untuk berdepan dengan Rahman.

Kerusi DUN Ayer Molek yang disandang Datuk Rahman Mariman dari Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 1,805 pada Pilihan Raya Umum lalu dan kali ini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Selain Mohd Fadly, turut bertanding adalah Mohd Rafee Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH), Ahmad Muaz Idris (Bebas) dan Rahmad (BN).

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Advertisment

Terkini