Di Malaysia, Dia Tetap Muhammad Sajjad, Berjantina Lelaki

PUTRAJAYA: Meskipun didakwa berjaya menukar jantinanya seorang wanita di Australia, namun usahawan kontroversi itu tetap disahkan sebagai seorang lelaki.

Demikian tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary apabila diminta mengulas pengakuan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, atau dikenali sebagai Nur Sajat menerusi sesi siaran langsung di Instagramnya baru-baru ini.

“Sajjad (Muhammad Sajjad) tetap lelaki di Malaysia mengikut jantina yang telah termaktub dalam kad pengenalannya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pertemuan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama influencer media baharu, hari ini.

Nur Sajat kononnya mendakwa dirinya merasa seperti baru dilahirkan semula kerana gembira proses menukar jantina di Australia dibenarkan dengan mudah.

Pengakuan usahawan itu bagaimanapun mengundang kontroversi.

Jelas Marzuk, ini kerana kad pengenalan merupakan dokumen sah yang digunakan di negara ini yang mengandungi butir peribadi jantina setiap rakyatnya.

“Itu negara lain, dalam negara kita dia (Sajat) tetap lelaki sebagaimana yang ada di kad pengenalannya di negara kita, itu kita gunakan.

“Dokumen yang sah itulah yang menentukan jantina dia sama ada dia nak pilih negara mana, alam mana untuk menentukan jantina itu kita tidak campur,” ujarnya.

Dalam majlis yang sama turut dilancarkan Buku Manual Komuniti Hijrah Lesbian dan Gay yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

BBerkaitan

Latest articles