KUALA LUMPUR: Setiap parti politik yang berada di dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya di Selangor, dinasihatkan tidak syok sendiri dengan menamakan calon menteri besar.
Iskandar yang juga bekas exco kerajaan negeri berkata dia berpendapat mana-mana parti yang menyertai PRN bukan saja perlu menamakan calon menteri besar masing-masing, malah barisan exconya.
Apatah lagi pengundi pada hari ini semakin bijak jika hendak dibandingkan dengan sebelum ini.
“Justeru jika parti-parti serius untuk memenangi PRN, calon-calon mereka mesti yang berkemampuan untuk mentadbir negeri.
“Ini penting terutamanya bagi negeri seperti Selangor yang merupakan pusat ekonomi negara dan dengan aset bernilai berbilion-bilion ringgit.
“Majoriti pengundi adalah bukan ahli parti, mereka tidak memiliki sikap taat setia kepada mana-mana parti dan tidak ada masa untuk sebarang sentimen dalaman yang lazimnya menguasai orang-orang parti,” jelasnya.
Iskandar, yang juga Bendahari PAS Pusat berkata pengundi mahu memilih calon berdasarkan merit, namun kadangkala terdapat parti yang “jahil” terhadap faktor-faktor mempengaruhi pilihan pengundi.
“Jadi kepada parti-parti politik, jangan syok sendiri, tetapi bertanyalah kepada rakyat apa yang mereka mahu.
“Jangan pula kita merasakan calon-calon kita hebat berdasarkan kerja-kerja mereka di dalam parti tetapi ditertawakan oleh rakyat,” kata Iskandar.
Iskandar juga berpendapat PN Selangor masih mempunyai beberapa pemimpin lain yang boleh diangkat sebagai MB jika PN menang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Reaksi itu menyusul selepas Datuk Seri Azmin Ali dikhabarkan mungkin dicalonkan PN sebagai menteri besar Selangor.
“Ketika kita menunggu tarikh PRN (pilihan raya negeri), senario politik Selangor dikejutkan dengan spekulasi bahawa Azmin akan kembali menjadi menteri besar tetapi kali ini mewakili PN.
“Respon saya kepada berita tersebut ialah: terlalu awal untuk menamakan calon menteri besar dan terdapat ramai calon lain yang juga layak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beberapa hari lalu, PN Selangor dilaporkan berkata mereka tidak menolak kemungkinan mencalonkan Azmin sebagai menteri besar sekiranya berjaya memenangi PRN di Selangor nanti.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Pengarah Pilihan Raya PN Selangor, Datuk Zulkafperi Hanafi dengan menambah peluang sentiasa terbuka kepada bekas ahli parlimen Gombak itu untuk diangkat sekali lagi menjadi menteri besar.
Untuk rekod, pada PRU15 November lalu, Azmin tewas di kerusi parlimen Gombak, dan kini masih menjadi Adun Bukit Antarabangsa.
Azmin pernah menjadi menteri besar Selangor bagi kerajaan PH antara September 2014 sehingga 19 Jun 2018.