Di Kala Keretakan MN, PAS Dakwa PN Adalah Pembaharuan Kerjasama

KUALA LUMPUR: Menegaskan Perikatan Nasional (PN) merupakan persetujuan bersama yang dicapai sebelum ini antara PAS-UMNO-BERSATU, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata kerjasama berkenaan perlu diperkukuhkan.

Malah Presiden PAS itu percaya PN perlu meneruskan kelangsungan perubahan dan mewajibkan semua parti bersama gabungan itu mengumpulkan parti yang menerima asas penting dalam Perlembagaan Persekutuan dan menolak mana-mana parti bertujuan selain daripada itu.

Ujarnya PAS, pernah bersama UMNO menubuhkan BN yang sudah tidak berfungsi secara berasingan dan memerlukan pembaharuan terhadapnya yang telah ditolak dalam PRU14.

Oleh itu, PN ialah pembaharuannya dalam bentuk yang lebih besar dan PAS tidak boleh dikongkong dengan hanya bersama UMNO sahaja.

“Kita telah memulakan langkah dengan menubuhkan kerajaan bersama dalam gagasan PN yang baru berada di peringkat permulaaan.

“Perpaduan yang wujud ini jangan sekali-kali dirungkai di tengah perjalanan kerana sebab yang tidak berkaitan dengan peranan melangsungkan tugas ialah pembaikan dan pembetulan.

“Antara sebabnya seperti faktor peribadi atau pembahagian jawatan dalam kabinet kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah faktor sampingan sehingga menyebabkan PAS banyak berlembut dalam isu ini,” katanya menerusi Minda Presiden Pas bertajuk, “Bersama Muafakat Nasional Mempertahankan Perikatan Nasional” hari ini.

Menurut Abdul Hadi, PAS berpegang kepada asas yang menjadi pegangannya iaitu prinsip dan konsep politik Islam berbeza dengan nasionalisme sekular yang bercanggah dengan Perlembagaan parti itu.

Menjelaskan hasrat PAS yang terus mahu bersama BERSATU, Abdul Hadi berkata PN juga bertujuan memecahkan konsep ‘asabiyyah kaum’ iaitu golongan fanatik perkauman yang ditentang parti itu.

Malah PN juga bertujuan mengumpulkan pihak atau bangsa lain dalam masyarakat majmuk yang mendorong Pas untuk bersama menubuhkan PN.

“Asabiyyah ialah fanatik dalam mempertahankan suatu kaum tanpa perhitungan antara benar dengan salah, baik dengan buruk, adil dengan zalim. Maka, di mana bumi kita berpijak, di situlah kita tegakkan Islam.

“Dengan itu, masyarakat Malaysia yang didominasi oleh bangsa Melayu beragama Islam berusaha menyatukannya bermula dengan penyatuan melalui tiga parti besar iaitu UMNO dan BERSATU bersama PAS dalam gabungan Muafakat Nasional (MN).

“Sekiranya hanya disertai oleh PAS dan UMNO sahaja, gabungan tersebut tidak memadai,” katanya lagi.

Malah PAS juga, menurut Abdul Hadi tidak berjuang atas dasar nasionalisme yang sempit kerana ia sebuah parti berlandaskan Islam yang menjadi akidah perjuangannya.

Tetapi, hal berkenaan semangat kebangsaan merupakan fitrah manusia yang tidak boleh dinafikan.

Namun dalam masa yang sama tidak boleh sekali-kali menjadi akidah perjuangan.

Sehubungan itu Abdul Hadi menegaskan bahawa Islam adalah penyelamat bangsa dan manusia seluruhnya serta wajib berlaku adil kepada semua manusia.

“Oleh itu, suatu bangsa tanpa Islam tidak selamat kerana mereka tidak akan berlaku adil kepada semua termasuk terhadap bangsa, hatta keluarga sendiri. Justeru, setiap bangsa hendaklah diselamatkan bersama Islam, bukan bangsanya sahaja.

“Bangsa Melayu yang menegakkan Islam akan terselamat bangsanya dan semua bangsa juga pasti akan selamat. Jika sekadar menyelamatkan bangsa Melayu sahaja tanpa acuan Islam, Melayu tidak akan selamat, malah bangsa lain dalam masyarakat majmuk juga tidak akan selamat.

“Hanya bangsa yang berpegang dengan Islam sahaja layak memimpin manusia masyarakat majmuk bersama Islam yang adil kepada semua. Allah memberikan suatu amaran kepada bangsa Arab yang merupakan bangsa paling awal menerima Islam dan memimpin negara Islam pada permulaannya,” katanya.

PAS, ujar Abdul Hadil lagi tidak boleh diheret sekali-kali dalam lingkungan perkauman sempit dan wajib memecahkan tembok yang cuba mempertahankan elemen perkauman.

“Jadi, PN merupakan pemecahnya. Dalam

sifir politik bagi melakukan satu perubahan, perkara itu tidak akan dapat dicapai jika hanya melalui platform Muafakat Nasional (MN) sahaja yang melibatkan Pas dan UMNO semata-mata.

“Sehinggakan, dipersetujui bersama supaya satu perubahan atau reformasi politik dilakukan akibat daripada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang meletakkan dominasi bukan Islam dan muslim yang tidak Islamik.

“Bahkan, turut dipersetujui bersama untuk mengumpulkan seluruh ahli Parlimen muslim secara keseluruhannya yang masih majoriti jumlahnya. Setelah itu disertai oleh kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya.

Beliau berkata, hasilnya dimulakan dengan diadakan Himpunan Penyatuan Ummah melibatkan UMNO dan Pas yang dianjurkan secara bersama oleh dua parti pembangkang terbesar itu.

Kemudian, diikuti pula oleh Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan tokoh ilmuwan yang mana PAS waktu itu juga menyertainya dan mengajak UMNO bersama walaupun pada awalnya parti pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak bersetuju.

“Hasil daripada dua himpunan tersebut, berjaya mengumpulkan sejumlah Ahli Parlimen yang cukup bagi membuat perubahan dengan menyelesaikan beberapa masalah dan krisis politik yang belum selesai.

“Tonggak perubahan ialah kepimpinan yang didominasi oleh muslim dan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Maka, untuk menjayakan perubahan tersebut mestilah melalui tiga parti Melayu yang besar jumlah Ahli Parlimennya iaitu UMNO, BERSATU dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (Gabungan Parti Sarawak atau GPS),” katanya.

Beliau menjelaskan, jika hanya semata-mata jumlah ahli Parlimen UMNO dan PAS sahaja, sudah pasti tidak mencukupi jumlahnya.

Menurut Abdul Hadi, PAS berpegang kepada keputusan untuk melebarkan MN yang tidak terhad kepada parti itu dan UMNO sahaja, sebaliknya melangsungkan kerjasama yang telah terjalin dalam masyarakat majmuk sejak merdeka dengan pembaharuan melalui penubuhan PN.

BBerkaitan

Latest articles