Dewan Rakyat Tetap Bersidang Sehari Pada 18 Mei ini

Kerajaan tetap berpegang kepada keputusan bahawa Dewan Rakyat akan bersidang sehari pada 18 Mei ini meskipun Pakatan Harapan (PH) mendesak persidangan itu dijalankan lebih daripada sehari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu adalah berdasarkan kepada perkembangan dan situasi semasa khususnya dalam mengawal dan menamatkan ancaman wabak COVID-19 serta langkah segera dan penting bagi membantu rakyat menangani kesan jangka pendeknya.

“Pada saat kita telah hampir berjaya dalam usaha menangani COVID-19 dengan cara dan pendekatan kita sendiri, kerajaan tidak bersedia untuk mengambil risiko sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PH sebelum ini menyatakan akan bertemu Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof bagi menyuarakan pandangan mereka supaya persidangan Dewan Rakyat dijalankan lebih daripada sehari.

Gabungan itu juga memberi contoh negara lain yang mampu melakukannya ketika berdepan penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, walaupun kerajaan mengambil maklum pandangan dan cadangan yang disuarakan namun percaya ia bersifat pramatang, sempit dan gagal memahami susunan keutamaan yang dihadapi oleh kerajaan dan negara.

Keputusan kerajaan juga, katanya, adalah berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada dengan mengambil kira keperluan, pandangan serta sentimen semua pihak sama ada yang dijana secara rasmi dan langsung, mahupun secara tidak rasmi dan tidak langsung.

“Kerajaan akan terus mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga pakar berkaitan khususnya bagi menjamin manfaat dan keselamatan semua pihak,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles