More

    Dewan Rakyat Tegang Dengan Dakwaan ‘KP Takut Mati’, MP Jelutong Dihalau Keluar

    Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh dengan dakwaan daripada Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dengan kenyataan ‘DG takut mati’ ketika beliau membangkitkan isu mengapa Ketua Pengarah Kesihatan tidak turun ke Sabah ketika COVID-19 melanda.

    King Sing mendakwa Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sengaja meraih publisiti dengan hanya melakukan sidang akhbar harian.

    “Adakah DG dan Timbalannya tidak mahu turun padang ke Sabah kawasan yang paling tinggi kes COVID-19 kerana takut mati,” kata King Sing.

    Berang dengan kenyataan itu, Ahli Parlimen Jelutong, S N Rayer bangkit dan mendakwa kata-kata King Sing sebagai memperlekehkan pegawai barisan hadapan.

    King Sing bagaimanapun mendakwa beliau hanya bertanya dan menyuarakan pandangan rakyat.

    Kekecohan antara ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang menyebabkan Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said mengarahkan Rayer secara berkali-kali untuk duduk sebelum dirinya membuat keputusan.

    Pada masa sama, Azalina kemudian memberi dua pilihan kepada King Sing sama ada memohon maaf dan menarik balik kenyataan mengenai Ketua Pengarah Kesihatan itu atau memberikan penjelasan dengan meneruskan perbahasan.

    King Sing memilih untuk menerangkan kenyataannya dan enggan menarik balik perkataan yang digunakan.

    King Sing menyatakan beliau tidak bersalah dengan menyatakan sedemikian kerana hanya menyampaikan apa yang dinyatakan oleh rakyat dan anggota barisan hadapan.

    “Saya tidak mahu tarik balik, apa salah saya cakap DG (Ketua Pengarah) ini takut mati sebab itu yang ‘frontliner’ nyatakan kepada saya. Saya hanya tanya bagi pihak ‘frontliner’.

    Kekecohan terus berlangsung selama beberapa minit dan keengganan Rayer untuk patuh kepada arahan Azalina menyebabkan beliau diarahkan keluar.

    Terdahulu King Sing meminta kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas supaya rakyat tidak keliru dan teraniaya apabila dikompaun kerana didakwa melanggar peraturan ditetapkan.

    “Isu ini penting dalam keadaan sekarang dan (nilai) kompaun RM1,000 itu besar. Semalam ada yang dikompaun kerana duduk sebelah-sebelah dalam kereta, ada juga didenda kerana masuk dalam stesen minyak untuk buat bayaran.

    “Rakyat marah dan keliru kenapa tidak terang SOP, mesti diterangkan kepada semua agensi penguat kuasa,” katanya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini