KUALA LUMPUR: Sebarang usul atau desakan, termasuk gesaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, supaya parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, perlu terlebih dahulu dibawa untuk pertimbangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Perkara itu ditegaskan Ahli MKT UMNO merangkap Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut Zambry, setiap pandangan, cadangan atau usul yang disuarakan dalam parti mesti melalui saluran serta mekanisme yang telah ditetapkan, selaras dengan amalan dan disiplin organisasi UMNO.
Beliau menegaskan bahawa pandangan yang dibangkitkan oleh Pemuda UMNO merupakan suara sayap parti, namun sebarang keputusan muktamad hanya boleh dibuat di peringkat kepimpinan tertinggi.
“Itu adalah pandangan Pemuda UMNO. Namun, apa jua desakan, langkah atau syor yang mereka kemukakan, perkara tersebut akan dibawa dan diserahkan kepada peringkat yang lebih tinggi iaitu Majlis Kerja Tertinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Kembali ke Sekolah bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, meskipun wujud desakan tertentu, kepimpinan Pemuda UMNO memahami bahawa keputusan berkaitan hala tuju parti perlu dibuat secara matang dan berhemah.
Jelasnya, proses membuat keputusan dalam UMNO melibatkan pertimbangan menyeluruh dan tidak dibuat secara tergesa-gesa.
“Pandangan yang dizahirkan itu sememangnya akan dibawa ke peringkat lebih tinggi. Proses membuat keputusan dalam UMNO adalah proses yang matang dan bertanggungjawab. Dalam konteks ini, seperti yang kita dengar, walaupun desakan dibuat, saudara Muhamad Akmal juga sedar bahawa apa jua keputusan akhirnya akan ditentukan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Muhamad Akmal menggesa UMNO menarik diri daripada kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan susulan dakwaan terdapat pimpinan parti komponen yang gagal menghormati garis merah berkaitan kepentingan orang Melayu dan Islam.
Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut mengulangi cadangan supaya diwujudkan semula permuafakatan antara UMNO dan PAS sebagai usaha menyatukan orang Melayu.
Dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO, Muhamad Akmal turut mencadangkan agar UMNO memilih untuk berada di blok pembangkang sekiranya parti itu memutuskan untuk keluar daripada kerajaan sedia ada.










