Dera Anak Sampai Mati, Bekas Askar Dihukum Gantung

KUALA LUMPUR: Seorang bapa dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas dia didapati bersalah mendera anak perempuannya sehingga mati, lima tahun lepas.

Hakim Datin Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Abdullah Mohamed, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mohammad Abdullah yang merupakan bekas anggota tentera dituduh membunuh Nur Aina Nabihah yang berusia sembilan tahun ketika kejadian, di sebuah rumah di Lukut, Port Dickson antara 8.30 malam hingga 11.30 malam, 31 Jan 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Hakim Rohani berkata secara keseluruhannya, keterangan yang diberikan dalam pembelaan mendapati ia hanyalah penafian semata-mata.

“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman mati ke atas kamu (Mohammad Abdullah) yang kamu diperintahkan digantung di leher sehingga mati pada tarikh yang ditetapkan kelak,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Maleeha Syed Hussin dan Ala’uddin Baharom, manakala tertuduh diwakili dua peguam.

Terdahulu, Sharifah Maleeha menyatakan kepada mahkamah bahawa tindakan kejam Mohammad Abdullah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian abdomen selain tertuduh tergamak memijak serta menendang anak kandung itu sehingga maut.

“Terdapat 32 kecederaan luaran dan pelbagai kecederaan dalaman si mati, terutamanya di bahagian kepala, leher dan abdomen. Pemeriksaan juga mendapati terdapat banyak pendarahan dalam abdomen disebabkan kesan luka di hati, pankreas dan ginjal.

“Kanak-kanak perempuan ini dipijak dan ditendang oleh bapa kandungnya sendiri, perbuatan ini tanpa belas kasihan…di mana sifat seorang ayah yang sepatutnya melindungi, menjaga dan memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya,” katanya.

Peguam tertuduh pula memohon hukuman penjara paling mininum diberikan kepada anak guamnya bermula pada tarikh dia ditangkap.

Seramai 19 saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles