Denmark Dakwa Dua Individu Atas Perlakuan Tidak Wajar terhadap Al-Quran

KUALA LUMPUR: Untuk pertama kalinya dalam sejarah Denmark, dua individu telah didakwa atas perlakuan tidak wajar terhadap kitab suci agama, selepas didapati tidak menghormati al-Quran, demikian menurut Pendakwa Raya Copenhagen pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu.

“Pendakwa Raya di Copenhagen telah mengemukakan kes pertama di bawah Seksyen 110e(2) Kanun Jenayah Denmark, berkaitan perlakuan tidak wajar terhadap kitab suci agama,” kata kenyataan pejabat pendakwa raya.

Pertuduhan itu dibuat selepas mendapat kelulusan daripada Menteri Kehakiman Denmark untuk meneruskan kes berkenaan.

Kes ini berkaitan dengan kejadian yang didakwa berlaku pada 15 Jun 2024, semasa acara Pesta Rakyat di pulau Bornholm.

Menurut pihak pendakwa, suspek dikatakan melakukan perbuatan tidak wajar terhadap al-Quran di dalam sebuah khemah, sama ada secara terbuka atau dengan niat untuk menyebarkan perbuatan itu kepada khalayak lebih luas.

“Penilaian kami mendapati bahawa perlakuan tidak wajar terhadap al-Quran berlaku semasa acara tersebut. Ia dilakukan secara terbuka, di hadapan beberapa individu, dan turut disebarkan secara langsung melalui Facebook,” menurut kenyataan itu.

Pendakwa Raya Lise-Lotte Nilas menyatakan bahawa hukuman denda telah dicadangkan untuk kedua-dua suspek.

Kes ini kini telah dirujuk ke Mahkamah Bornholm untuk jadual perbicaraan, tetapi tarikh rasmi bagi prosiding mahkamah masih belum ditetapkan.

Kes ini mencetuskan perhatian sebagai tindakan pertama Denmark di bawah undang-undang baharu mengenai layanan tidak wajar terhadap kitab suci agama. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles