KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pemimpin MUDA, antaranya melakukan demonstrasi dan melanggar undang-undang menjadi antara punca mengapa parti itu tidak mendapat kelulusan awal pendaftaran.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, atas sebab itu pihaknya bertindak menangguhkan pendaftaran MUDA.
“Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Presiden MUDA) sudah jumpa saya, dia benar-benar minta luluskan dan saya dah nasihatkan dia.
“Masalah yang saya terpaksa tolak pendaftaran MUDA tempoh hari adalah kerana dalam Akta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), kita tak benarkan sesiapa ahli atau anggota jawatankuasa penaja, mana-mana orang nak tubuhkan parti baru langgar undang-undang dalam negara.
“Tapi masa kita nak luluskan tempoh hari, mereka telah banyak lakukan kesalahan seperti buat demonstrasi dan buat perkara-perkara yang melanggar undang-undang negara,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Sayap Armada dan Srikandi, hari ini.
Untuk rekod, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menolak permohonan MUDA untuk didaftarkan sebagai parti politik, menyebabkan parti itu mengemukakan rayuan tidak lama kemudian.
Pada Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan KDN mendaftarkan MUDA, dalam tempoh dua minggu, selain memerintahkan KDN membayar kos RM10,000 kepada parti berkenaan.
Mengulas keputusan mahkamah itu, Hamzah berkata satu pengumuman akan dilakukan Isnin nanti selepas mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Oleh kerana mahkamah dah putuskan untuk beri peluang dan dikatakan ia adalah hak mana-mana pihak untuk menubuhkan parti, maka saya dah pun bincangkan perkara ini dengan Presiden parti saya dan juga bincang dengan Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob), saya akan umumkan Isnin,” katanya.