Demi Masa Depan Pelajar, Kerani Sanggup Meredah Hujan, Banjir Hantar Bahan PdPR Untuk Pelajar

Menyedari akan kepentingan setiap pelajar memperoleh bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) lebih-lebih lagi di kala pandemik COVID-19, seorang kerani di sebuah sekolah di Kota Belud, Shafiq Shazwan Juhen sanggup meredah hujan dan banjir untuk menghantar bahan berkenaan ke rumah pelajar.

Usaha dilakukan Shafiq Shazwan, 23, yang merupakan kakitangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan II Kota Belud itu penting kerana talian internet di tempat tinggal pelajar di Kampung Pituru di sini yang menurut beliau bagaikan ‘hidup segan mati tidak mahu’, menyukarkan untuk mengikuti PdPR secara dalam talian.

Beliau berkata, sebagai anak jati kampung itu dan bekas pelajar sekolah itu beliau amat memahami apa yang dihadapi pelajar terbabit, justeru beliau nekad menawarkan diri secara sukarela bagi membantu guru menyampaikan bahan PdPR buat pelajar mereka.

“Talian internet di kampung itu memang sangat perlahan apatah lagi ketika cuaca hujan, memang sukar untuk mengikut PdPR secara dalam talian… ada juga pelajar akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jadi saya tidak mahu pelajar tercicir,” katanya yang mula bekerja sebagai kerani di sekolah itu sejak setahun yang lalu.

Ujar Shafiq Shazwan, segalanya bermula pada 7 Disember lalu selepas selesai bekerja pada 5 petang, beliau dengan rela hati membawa bahan PdPR berkenaan untuk diserahkan kepada lebih 20 pelajar sekolah berkenaan yang tinggal di Kampung Pituru.

“Masa itu saya masih berulang alik dari kampung ke sekolah dan kebetulan, guru sekolah perlu menyerahkan bahan itu kepada pelajar di Kampung Pituru dan saya dengan rela hati membawa bahan berkenaan.

“Bagi mengelak bahan itu basah, saya balut dengan plastik sebab masa itu saya minta kawan tolong hantar ke kampung dan dalam keretanya pula tiada payung, saya tiada pilihan melainkan meredah hujan dan banjir,” katanya.

Shafiq Shazwan yang kini tinggal di perumahan guru sekolah itu berkata, beliau berdepan pelbagai cabaran antaranya membawa bahan itu seberat dua kilogram sambil meredah banjir sejauh dua kilometer demi menyampaikan bahan PdPR kepada pelajar yang memerlukan.

Beliau berkata, perjalanan dari kampung itu ke sekolah berkenaan sejauh kira-kira 20 kilometer dan jika berlaku banjir penduduk di kampung itu pasti akan terputus hubungan kerana hanya ada satu jalan utama sahaja yang menjadi penghubung untuk ke Pekan Kota Belud.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan Jainol Sair berkata, penyampaian bahan PdPR itu adalah pendekatan secara luar talian bagi membantu pelajar yang tidak mempunyai akses kepada internet supaya dapat mengikuti pembelajaran mereka.

Beliau berkata, ia selaras dengan budaya peduli yang diamalkan di sekolah berkenaan iaitu menerapkan agar setiap warga sekolah termasuk komuniti sentiasa mengambil berat tentang peranan masing-masing untuk membantu kumpulan sasar.

Jainol berkata, pihak sekolah akan menghantar bahan-bahan PdPR ke kampung dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) atau pengawal sekolah kepada ibu bapa untuk diserahkan kepada anak masing-masing.

“Dalam keadaan pandemik ketika ini, pihak sekolah menggunakan pendekatan budaya peduli ini untuk bersama-sama menyampaikan maklumat khususnya dalam mendidik anak-anak kerana itulah yang kita harapkan,” katanya.

KOMEN

BERKAITAN

POPULAR

Media Sosial

29,272FansLike
0MembersFollow
48,300FollowersFollow
0FollowersFollow
9,238FollowersFollow
10,400SubscribersSubscribe

Terkini