KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mewujudkan rangkaian yang lebih erat agar kegiatan sukan di institusi pendidikan dan komuniti dapat disegarkan.
Ini kerana menjadi harapan Kerajaan Perpaduan yang mahu melahirkan generasi muda yang cergas dan sihat.
Justeru katanya, semua aspek kesukanan, seperti olahraga dan sukan lain adalah dianggap penting bagi merealisasikan hasrat itu.
“MADANI ini akan hanya berkembang jika kalau rakyat itu diperkasakan, bukan kerajaan diperkasakan.
“Rakyat diperkasakan dalam pelbagai bidang, pekerjaan, ekonomi dan utamanya, kesihatan.
“Saya berharap persatuan sukan, malah kelompok anak muda keseluruhannya seperti sekolah dan universiti dapat merealisasikan dan sebab itu saya harap ada jaringan antara Menteri KBS, KPM dan KPT,” katanya ketika berucap melancarkan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dan Ketua Setiauasa Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Perdana Menteri berkata, beliau melontarkan idea itu kerana yakin Malaysia akan selamat, bahagia dan cemerlang sekiranya dapat menyakinkan anak-anak muda bangkit sebagai satu kesatuan dan semangat perpaduan tulen tanpa mengira kaum dan budaya.
Ujarnya, rakyat di bawah mahukan keamanan, menerima kenyatan dan kepelbagaian dan diantara kegiatan utama yang digalakkan adalah dibidang sukan
“Kita mahu menang, tak kira nama dia apa tapi, dia anak muda Malaysia catat kemenangan hebat, itu cita-cita kita,” ujarnya.