Delegasi Ukraine, Russia tiba di Istanbul untuk rundingan damai

ISTANBUL: Delegasi Russia dan Ukraine tiba di Istanbul dalam pusingan baharu rundingan damai antara Moscow dan Kyiv ketika perang Russia ke atas Ukraine berterusan selama lebih sebulan, lapor Agensi Anadolu.

Sebuah pesawat persendirian membawa delegasi Russia mendarat di Lapangan Terbang Ataturk, kira-kira jam 4 petang waktu tempatan, manakala delegasi Ukraine tiba di Istanbul sekitar jam 10 malam waktu tempatan.

Rundingan damai berlangsung dua hari itu, diadakan di pejabat presiden Dolmabahce bermula jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Rundingan itu ditutup kepada media, menurut Kementerian Luar Turki.

Beberapa pusingan rundingan damai antara Russia dan Ukraine diadakan di Belarus setakat ini, tanpa keputusan konkrit dicapai.

Pada 10 Mac lalu, Turki menjadi tajuk utama di seluruh dunia kerana menjadi tuan rumah kepada menteri luar Russia dan Ukraine di bandar selatan Antalya, pertemuan peringkat tertinggi kedua-dua pihak sejak perang bermula pada 24 Februari lalu.

Turki mendapat pujian yang meluas atas usahanya untuk menamatkan perang, dibantu oleh kedudukan uniknya dalam menjalin hubungan mesra dengan Russia dan Ukraine.

Perang Russia-Ukraine mendapat kemarahan antarabangsa dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom antara lain melaksanakan sekatan kewangan yang keras ke atas Moscow.

Sekurang-kurangya 1,151 orang awam terbunuh di Ukraine dan 1,842 cedera, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi amaran bahawa angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

Lebih 3.87 juta rakyat Ukraine melarikan diri ke beberapa negara Eropah dengan berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal di dalam negara itu, menurut agensi pelarian PBB. – BERNAMA

Latest articles

Related articles

spot_img