KUALA LUMPUR: Delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTGM) diingatkan agar tidak bertindak agresif sekiranya kapal mereka dipintas atau ditahan tentera Israel.
Pesanan itu disampaikan Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, yang menegaskan bahawa sikap tenang dan berdisiplin amat penting bagi mengelakkan sebarang provokasi yang boleh dijadikan alasan untuk kekerasan oleh pihak Israel.
“Peserta diingatkan supaya sentiasa bertenang dan tidak bertindak balas secara agresif. Jika mereka menunjukkan sebarang tindakan yang boleh dianggap mencabar, ia hanya akan membuka ruang kepada tentera Israel untuk bertindak kasar. Jadi, persediaan mental amat kritikal,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCARE hari ini.
Menurut beliau, pemilihan peserta bagi misi tersebut dibuat dengan sangat teliti, termasuk ujian ketahanan mental melalui latihan simulasi yang menilai reaksi peserta sekiranya berdepan kekerasan daripada tentera Israel.
“Jika ada peserta yang menunjukkan kecenderungan untuk bertindak balas, mereka tidak akan dipilih menyertai misi ini. Kita tidak mahu tindakan individu menjejaskan keselamatan keseluruhan pasukan,” jelasnya.
Delegasi Malaysia yang diketuai Profesor Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali, terdiri daripada sembilan aktivis, dengan lapan daripadanya menaiki kapal Conscience, manakala seorang lagi, Dr. Maziah Muhammad, berada di atas kapal layar Umm Saad.
Kapal Conscience merupakan kapal terbesar dalam konvoi tersebut, membawa 93 peserta dari 22 negara, termasuk 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.
Antara wakil Malaysia yang menyertai misi ini ialah tiga doktor perubatan iaitu Dr. Fauziah Mohd Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman dan Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi selain dua pensyarah, Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh dan Dr. Noorhasyimah Ismail, serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar, dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Keseluruhannya, misi flotila kali ini melibatkan kira-kira 150 peserta dari 25 negara, dengan konvoi kapal besar berlepas dari Porto Otranto, Itali, pada 30 September, manakala kumpulan kapal layar termasuk Umm Saad berlepas lebih awal dari Catania, Sicily, pada 27 September.
Misi FFCxTMTGM diteruskan dengan matlamat menembusi sekatan laut Israel ke atas Gaza, bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan dan menggesa dunia menamatkan penderitaan rakyat Palestin yang berlarutan sejak hampir setahun.










