DBKL Tegaskan Dataran Merdeka Zon Larangan Menjaja, Air Balang Disita

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan bahawa Dataran Merdeka kekal sebagai kawasan larangan menjaja bagi memelihara imej, kebersihan serta nilai warisan lokasi ikonik yang menjadi kebanggaan warga kota dan tarikan utama pelancong.

Dalam satu kenyataan, DBKL menekankan bahawa sebarang aktiviti penjajaan tanpa kebenaran di sekitar Dataran Merdeka adalah melanggar peraturan dan tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, langkah tegas berkenaan penting bagi memastikan kawasan bersejarah tersebut sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat dan teratur untuk dikunjungi orang ramai.

DBKL turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli barangan atau makanan daripada penjaja haram kerana tindakan itu secara tidak langsung menggalakkan aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Kerjasama semua pihak amat dihargai demi memastikan Dataran Merdeka dan kawasan sekitar berada dalam keadaan bersih, selamat dan sejahtera untuk dikunjungi,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, DBKL memaklumkan pihaknya telah menjalankan tindakan penguatkuasaan dengan menyita jualan air balang yang dijaja secara tidak sah di sekitar kawasan berkenaan pada 14 Februari lalu.

Tindakan tersebut dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

DBKL menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat pemantauan dan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan Dataran Merdeka kekal sebagai lokasi berprestij yang mencerminkan identiti dan warisan ibu negara.

BBerkaitan

Latest articles