DBKL Jelaskan Penguatkuasaan Ikut Prosedur, Wakil MRM Tidak Muncul Selepas 30 Minit Menunggu

KUALA LUMPUR, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan pegawai penguatkuasanya telah menunggu lebih 30 minit di lokasi sebelum mengambil tindakan menurunkan khemah di Jalan Bukit Bintang, selepas tiada wakil Multiracial Reverted Muslims (MRM) tampil memberikan kerjasama atau penjelasan.

Menurut kenyataan media DBKL hari ini, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan pemantauan di lapangan pada 17 Februari 2026 yang mendapati berlaku pelanggaran peraturan melibatkan pemasangan khemah di laluan pejalan kaki berhampiran Bangunan Yayasan Selangor.

DBKL berkata, laluan pejalan kaki merupakan kawasan awam yang perlu sentiasa bebas daripada halangan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai di kawasan berkenaan.

“Petugas DBKL telah hadir ke lokasi bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terlibat. Namun selepas menunggu melebihi 30 minit, tiada wakil pihak berkenaan tampil untuk memberikan kerjasama,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, DBKL mengambil tindakan menurunkan khemah serta memindahkan bahan-bahan berkaitan untuk tujuan simpanan selaras dengan peruntukan undang-undang dan peraturan kecil yang berkuat kuasa.

Pihak berkuasa tempatan itu turut menegaskan bahawa semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, berhemah dan berlandaskan undang-undang, dengan matlamat memastikan keselamatan awam, ketenteraman bandar serta penggunaan ruang awam yang teratur demi kepentingan warga kota.

Dalam masa sama, DBKL menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah menghalang aktiviti dakwah di ruang awam, namun semua aktiviti perlu dilaksanakan mengikut proses serta prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak pengurusan DBKL akan mengadakan pertemuan dengan MRM dalam masa terdekat bagi mengadakan perbincangan konstruktif ke arah penyelesaian jangka panjang serta memastikan situasi seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

BBerkaitan

Latest articles