KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes kematian tragis Zayn Rayyan Abdul Matin hari ini menyaksikan pendedahan mengejutkan apabila sehelai daun pokok pulai ditemui tersekat dalam saluran bronkus (saluran udara ke paru-paru) kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu.
Penemuan itu dikongsi oleh saksi ke-28, ASP Mohd Hafizee Ismail, pegawai risikan operasi polis, yang memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa daun berkenaan dikenal pasti selepas objek berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis pada 8 Disember 2023.
“Saya menerima laporan awal daripada ahli kimia yang mengesahkan objek asing tersebut adalah daun pokok pulai. Pemeriksaan lanjut mendapati pokok itu tumbuh berhampiran lokasi mayat ditemukan, iaitu kira-kira 10 meter dari tempat kejadian,” katanya.
Dalam keterangannya, ASP Hafizee memaklumkan beliau menghadiri proses bedah siasat di Hospital Sungai Buloh pada 7 Disember 2023 selepas dimaklumkan terdapat kecederaan mencurigakan pada tubuh Zayn.
Antara kecederaan itu termasuk telinga kiri yang terkulai, kesan toreh pada lengan kanan, koyakan pada dubur yang dipercayai akibat objek tumpul serta lebam pada dahi, leher, rahang dan dada.
“Pakar forensik Dr Siti Rohayu mengesahkan punca kematian adalah ‘ligature strangulation’ atau jerutan menggunakan objek. Susulan itu, siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Pemeriksaan lanjut di rumah keluarga mangsa di Apartment Idaman, Damansara Damai membawa kepada penemuan sepasang kasut sekolah hitam yang berlumpur di dalam bilik berhampiran peti ais, selain stokin, lampin, dan sampel tanah yang turut dirampas untuk analisis.
Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM turut dikerahkan untuk membantu penjejakan berdasarkan pakaian Zayn, namun operasi sejauh 500 meter dari tangga ke anak sungai gagal menemukan petunjuk signifikan.
Mengenai bukti DNA, Hafizee menjelaskan bahawa calitan dari dubur mangsa hanya sepadan dengan DNA Zayn sendiri, tanpa sebarang DNA asing dikesan.
Selain itu, rakaman CCTV yang diperoleh daripada pihak pengurusan menunjukkan kelibat seorang kanak-kanak memakai baju putih pada hari Zayn dilaporkan hilang, 5 Disember 2023.
“CCTV menunjukkan kanak-kanak tersebut berjalan di saluran air dan berpatah balik keluar dari terowong,” katanya.
Pelbagai bahan bukti lain termasuk pendrive CCTV, pakaian, telefon bimbit dan bulu kucing turut dihantar untuk analisis forensik.
Namun, bulu kucing yang dijumpai pada pakaian mangsa tidak sepadan dengan sampel bulu dari rumah tertuduh.
Mahkamah juga dimaklumkan bahawa beberapa sesi lakonan semula turut dilakukan oleh tertuduh wanita, Ismanira Abdul Manaf, di sekitar Apartment Idaman dan lokasi lain berkaitan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung pada sebelah petang.
Terdahulu, pada 13 Jun lalu, kedua-dua ibu bapa Zayn — Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun — mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan Zayn sehingga berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal pada 5 Disember 2023.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mayat Zayn ditemukan sehari selepas dilaporkan hilang, dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran kediaman mereka.
Bedah siasat mendapati terdapat kesan jerutan dan kecederaan yang dipercayai dialami ketika mangsa cuba mempertahankan diri, menguatkan dakwaan bahawa Zayn mungkin dibunuh.