KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas setiausaha politik kepada bekas Ketua Menteri Melaka yang juga pernah memegang jawatan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, bersama isterinya, atas dakwaan menerima rasuah mencecah kira-kira RM3 juta.
Menurut sumber, pasangan suami isteri berkenaan ditahan sekitar jam 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Hasil siasatan awal mendapati individu bergelar Datuk Wira itu dipercayai meminta dan menerima wang suapan sebagai balasan membantu sebuah syarikat mendapatkan konsesi projek penambakan laut di perairan Melaka.
Perbuatan itu dipercayai berlaku antara Februari hingga November 2021.
Lebih mengejutkan, wang rasuah berkenaan dipercayai digunakan untuk membeli sebuah unit kondominium mewah di sekitar Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut peruntukan Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.










