Datuk Seri Acryl Sani Dilantik Sebagai Ketua Polis Negara Baharu, Berkuatkuasa 4 Mei Ini

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador berkuatkuasa pada 4 Mei 2021.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada majlis penyerahan surat perlantikan KPN di kementeriannya sebentar tadi.

Untuk rekod, Acryl Sani berpengalaman luas dalam tugas kepolisan dan pernah menjadi Pengarah di beberapa jabatan di Bukit Aman antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Jabatan Sumber Strategik dan Pengarah Teknologi (StaRT) serta Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) selain menjadi pegawai penyiasat, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Negeri.

Dalam pada itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Saya nak maklumkan setelah proses dilakukan SPP dan dipersetujui oleh semua ahli Suruhanjaya. Semua setuju Acryl Sani diangkat sebagai Ketua Polis Negara yang baharu termasuk Tan Sri Abdul Hamid Bador,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat pelantikan Ketua Polis Negara kepada Acryl Sani di sini hari ini.

Hamzah berkata pelantikan Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara adalah sehingga 3 Okt 2021 iaitu sehingga tempoh perkhidmatannya dalam polis tamat.

Beliau yang dilahirkan pada 3 Okt 1961 di Petaling Jaya, Selangor itu berkelulusan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia dan menyertai Polis Diraja Malaysia pada 2 Feb 1986 sebagai Kadet Assistant Superintendent of Police (ASP).

Acryl Sani telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman sepanjang perkhidmatan dalam pasukan beruniform itu.

Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pesuruhjaya Polis Sarawak, Ketua Polis Perak, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil serta Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi.

Latest articles

Related articles

spot_img