Datuk Bandar Miyoshi taja kontinjen paralimpik

KUALA LUMPUR: Kontinjen paralimpik negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 mendapat layanan istimewa apabila muncul satu-satunya negara yang dijemput datang lebih awal ke Jepun menjelang bermulanya temasya itu pada 24 Ogos depan.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, kontinjen dijadual berlepas pada 8 Ogos ke negara Matahari Terbit itu dan dijadual ‘berkampung’ di bandar Miyoshi City.

“Kami akan pergi awal ke bandar Miyoshi City di mana ia terletak 25 kilometer (km) dari Tokyo dan tempat tinggal, pengangkutan, kemudahan, makan, minum semuanya diberi percuma oleh Datuk Bandar Miyoshi City sendiri.

“Ini adalah program yang kami usahakan secara bersama sejak tahun lalu. Jadi, dengan program 10 hari lebih awal sebelum memasuki perkampungan sukan, ia diharap dapat menaikkan semangat, psikologi, kekuatan dan kestabilan dan menghilangkan rasa gemuruh atlet.

“Sekiranya secara kebiasaan, kita akan terus memasuki perkampungan sukan dan keesokan harinya terus bertanding. Jadi, dengan ini, kita ada ruang dan berharap kita mengambil sepenuh peluang diberikan – 10 hari lebih awal – untuk membiasakan diri (dengan persekitaran di Jepun) dan program yang dibuat ini, Datuk Bandar hanya menaja Malaysia saja,” kata Megat.

Seramai 10 atlet para sudah melayakkan diri ke Tokyo membabitkan sukan renang, memanah, olahraga, boccia dan powerlifting iaitu Muhd Nursaiful Zulfikri dan Brenda Anelia (renang); S Suresh dan Wiro Julin (memanah); Muhammad Ziyad Zolkefli, Wong Kar Gee, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romli (olahraga); Chew Wei Lun (boccia) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).

Untuk rekod, pada penyertaan di Sukan Paralimpik Rio 2016, kontinjen negara berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan satu gangsa.

Tiga emas itu masing-masing diraih Ridzuan, Ziyad dan Latif manakala gangsa dihadiahkan Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh wanita T20/F20.

BBerkaitan

Latest articles