KOTA KINABALU: Data kemiskinan tegar di Sabah yang dilaporkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Parlimen pada Mac lalu adalah berdasarkan data terdahulu yang belum dikemas kini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata berdasarkan data terbaharu yang dikemas kini setakat akhir Mac lalu, ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di Sabah hanya berjumlah 12,555.
Katanya,Pada persidangan Parlimen baru-baru ini, apa yang dinyatakan oleh Menteri Ekonomi mengenai data dan bilangan miskin tegar di Sabah mungkin berdasarkan data yang terdahulu sebelum dikemas kini.
“Sekarang, setelah dikemas kini kita dapat turunkan kepada 12,555 KIR dan jumlah itu sudah diverifikasi pihak ICU JPM, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Pejabat Daerah dan Sekretariat SMJ.
“Jadi, kita berpegang kepada data yang baharu ini kerana ia merujuk kepada maklumat terkini sehingga 31 Mac lalu,” katanya pada sesi soal jawab lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Hajiji menjawab soalan tambahan Alias Sani (WARISAN-Sekong) mengenai perbezaan data diumumkan Rafizi sebelum ini dengan data yang dijelaskan Hajiji kemudiannya.
Menjawab soalan asal Alias berhubung usaha membasmi kemiskinan di Sabah, Hajiji menjelaskan jumlah 12,555 KIR sehingga 31 Mac lalu menunjukkan penurunan 42 peratus daripada data miskin tegar yang dilaporkan sebelum ini yang berjumlah 22,510 KIR.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Darell Leiking (WARISAN – Moyog) mengenai usaha membantu golongan miskin, Hajiji berkata tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk menoktahkan miskin tegar, iaitu rakyat yang berpendapatan tidak lebih RM1,218 sebulan.
“Jika pendapatan di bawah daripada jumlah itu digolongkan miskin tegar, jika lebih daripada itu dianggap miskin mutlak dan ini berlaku di mana-mana, tapi tumpuan kita ialah menoktahkan miskin tegar, yang susah cari makan.
“Ini adalah isu sejagat yang sekain lama berlaku kerana ada rakyat yang tidak produktif, tiada pendidikan dan kemudahan. Jadi kita berusaha yang terbaik dan saya minta kerjasama semua pemimpin setiap kawasan pastikan kita sama-sama atasi masalah ini kerana ini ialah masalah kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata, usaha menangani kemiskinan memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta dengan mengambil anak golongan miskin tegar bekerja di agensi masing-masing.
“Kalau syarikat kecil dapat mengambil seorangpun sudah cukup dan yang besar dapat ambil dua, tiga orang lagi baik. Jadi, bagi saya isu miskin tegar ini kita perlu atasi bersama, jangan jadikan ini sebagai isu kerana mereka ini adalah rakyat kita,” katanya.