Data Gagal Diperolehi Dari Makmal Singapura, CVR Akan Dihantar Ke AS

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberitahu makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan di Singapura gagal untuk mendapatkan semula data daripada komponen memory puck dalam kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.

Menurut Anthony, langkah seterusnya daripada Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU) adalah dengan menghantar komponen itu kepada syarikat pengilang komponen itu di Florida, Amerika Syarikat (AS).

Tambahnya lagi komponen tersebut akan dihantar secepat mungkin selepas mendapat taklimat daripada BSKU yang akan pulang dari Singapura petang ini.

“Makmal di Singapura turut gagal mendapat semula data daripada memory puck iaitu situasi sama yang dialami BSKU pada Sabtu lalu.

“Justeru kita akan menghantarnya kepada syarikat pengilangnya di Florida seawal malam ini atau esok pagi. Ia selepas kementerian mendapat taklimat daripada BSKU yang pulang dari Singapura petang ini,” katanya di sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2023 di sebuah hotel, hari ini.

Semalam, Anthony memberitahu, BSKU berdepan kesukaran mendapatkan data daripada kotak perakam suara kokpit pesawat selepas keadaan luarnya rosak teruk.

Bagaimanapun, Anthony berkata, pihak berkuasa berjaya membuka CVR terbabit dan berjaya mengeluarkan komponen memory puck yang mengandungi data rakaman suara dalam pesawat terbabit.

Anthony juga menjelaskan tidak semua negara di dunia mempunyai semua kepakaran dalam dunia penerbangan.

Oleh kerana itu adalah perlu untuk menjalinkan kerjasama dalam dunia penerbangan dalam usaha melengkapi antara satu sama lain.

Dalam insiden Khamis lalu, 10 individu disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuh Raya Gutrie dekat Shah Alam.

Pesawat yang berlepas dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang mendapat kebenaran untuk mendarat pada pukul 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat.

BBerkaitan

Latest articles