KUALA LUMPUR: Menjelang Jumaat ini sebagai hari muktamad PKR mengumumkan calon-calon PRU15, sumber parti mendedahkan bahawa Bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan bertanding di kerusi Bandar Tun Razak.
Wan Azizah merupakan penyandang kerusi Parlimen Pandan selepas menang PRU14 yang lalu.
FMT, yang memetik sumber memaklumkan perkara itu disahkan minggu lalu.
“Ia sama ada beliau atau Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.
“Memandangkan Anwar akan bertanding di Tambun, Wan Azizah (diputuskan) akan bertanding di sini.
“Setakat ini, senarai calon sudah 98% lengkap,” kata sumber itu lagi.
Kerusi Bandar Tun Razak dimenangi Datuk Seri Kamarudin Jaffar pada PRU14 ketika masih bersama PKR.
Bagaimanapun, beliau adalah antara 11 Ahli Parlimen PKR yang berpaling tadah kepada Bersatu pada Februari 2020, yang menyaksikan kejatuhan PH.