Dari E-Invois Hingga Isu Sabah, Guan Eng Gesa PM Bertindak Segera

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyerahkan sepucuk surat berhalaman lima muka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggariskan 10 tuntutan yang beliau anggap sebagai isu nasional mendesak dan perlu diberi perhatian segera.

Dalam surat tersebut, Ahli Parlimen Bagan itu mengulangi beberapa gesaan yang pernah dibangkitkannya sebelum ini, termasuk cadangan agar kerajaan memperuntukkan 10 peratus dana kepada kaum bukan Bumiputera, berbanding peruntukan khas untuk Bumiputera yang ada ketika ini.

Guan Eng turut menekankan keperluan kerajaan menyelesaikan segera tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang masih tertangguh.

Bekas Menteri Kewangan itu juga menggesa kerajaan meneliti semula pelaksanaan e-invois, khususnya bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Beliau mahu PKS dikecualikan sepenuhnya, atau sekurang-kurangnya menaikkan ambang hasil tahunan kepada RM5 juta sebelum peraturan itu berkuat kuasa pada Januari 2026.

Guan Eng dalam masa sama meminta Anwar membekukan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai lalu, dengan mendakwa ia meningkatkan kos operasi secara mendadak, sekali gus menekan PKS.

Turut disentuh ialah caruman wajib 2 peratus KWSP ke atas pekerja asing yang dianggap membebankan, serta cadangan agar cukai 2 peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 dikenakan hanya kepada syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Selain itu, beliau juga mahu kerajaan memperuntukkan RM20 bilion bagi menyelesaikan tunggakan cukai Januari 2026 serta memansuhkan penalti RM10,000 kepada majikan yang gagal melaporkan kekosongan jawatan kepada Perkeso.

Tuntutan terakhir melibatkan kewajiban kerajaan menetapkan 50 peratus barangan keperluan daripada pengeluar tempatan, mengenakan SST 10 peratus ke atas bijih besi serta arang batu kok, dan memansuhkan SST ke atas sekerap keluli.

BBerkaitan

Latest articles