KUCHING: DAPSY Sarawak mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar melepaskan portfolio Menteri Kewangan bagi memastikan agenda reformasi Pakatan Harapan (PH) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam satu kenyataan, DAPSY Sarawak menegaskan bahawa pemisahan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah penting bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang serta mengelakkan pemusatan kuasa kepada seorang individu.
“Langkah berkenaan penting bagi memastikan agenda reformasi PH dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memperkukuh prinsip semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan.
“Pemisahan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan penting bagi mengelakkan kuasa serta tanggungjawab tertumpu kepada seorang individu,” menurut kenyataan itu.
Selain desakan berkenaan, sayap pemuda DAP itu turut mengemukakan 10 tuntutan reformasi yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan pusat bagi memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti institusi awam.
Antara tuntutan yang dikemukakan merangkumi usaha memperkukuh institusi demokrasi, menjamin kebebasan institusi penting negara, serta meningkatkan ketelusan dalam proses pengurusan dan pembuatan keputusan kerajaan.
Menurut DAPSY Sarawak, pelaksanaannya bukan sekadar perubahan dasar secara luaran, sebaliknya memerlukan pembaharuan struktur dan amalan pentadbiran yang menyeluruh demi mengembalikan keyakinan rakyat.
“Reformasi institusi tidak seharusnya terhad kepada perubahan dasar, sebaliknya perlu merangkumi pembaharuan struktur dan amalan pentadbiran kerajaan.
“Pelaksanaan reformasi berkenaan penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi awam serta memastikan pentadbiran negara berteraskan prinsip keadilan dan akauntabiliti,” katanya.
DAPSY Sarawak menegaskan tuntutan tersebut dibuat bagi memastikan kerajaan menunaikan komitmen reformasi yang pernah dijanjikan kepada rakyat, selain berharap pihak kerajaan mengambil serius kesemua 10 tuntutan berkenaan.
“Reformasi yang bermakna memerlukan keberanian politik dan komitmen berterusan daripada kerajaan,” tambah kenyataan itu.










