DAP Tak Boleh Jadikan Pulau Pinang, Selangor Sebagai Rujukan Menang PRN Sarawak

KUCHING: DAP perlu memahami perbezaan budaya dan demografi masyarakat Sarawak jika hendak menjadikan kemampuan mereka mentadbir Pulau Pinang sebagai sandaran untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi juga mengingatkan perbezaan yang besar antara Sarawak dan Selangor, iaitu negeri yang ditadbir dengan gabungan DAP-PKR-AMANAH.

Malah ketika menjadi kerajaan pusat selepas menang PRU14, DAP juga bertindak menyisihkan projek manfaat rakyat Sarawak, dan pastinya ia akan memberi kesan kepada pengundi.

“Jika DAP mengambil Pulau Pinang atau PKR mengambil Selangor sebagai contoh kejayaan mereka, kedua-dua negeri itu sebenarnya adalah berbeza dalam budaya politik serta demografi penduduk berbanding Sarawak.

“DAP sendiri masih diingati ketika menjadi Kerajaan Pusat membatalkan beberapa projek penting Sarawak dengan perkara itu masih diingati penduduk yang menerima kesannya secara langsung.

“Di sini, kelebihan masih ada pada GPS kerana mereka dilihat paling banyak membantu rakyat ketika pandemik COVID-19 melanda apabila tampil dengan pelbagai program bantuan terutama Sarawakku Sayang yang masih berjalan,” katanya memetik BH.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, Awang Azman turut mengingatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak boleh mengambil ringan persaingan diberikan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan DAP dalam PRN Sarawak kali ini.

Meskipun PSB adalah parti baharu, ia dipimpin tokoh politik berpengalaman, Datuk Seri Wong Soon Koh, dimana beliau masih mempunyai pengaruh kuat dalam masyarakat tempatan termasuk di kawasan luar bandar.

“Melihat kepada 349 calon yang bertanding pada PRN-12 kali ini, ia jelas menunjukkan amalan demokrasi adalah subur di Sarawak dengan semua parti dan individu boleh bertanding.

“Ini memberi peluang kepada rakyat Sarawak memilih siapa yang mereka rasa paling layak dan semestinya rekod dahulu menjadi rujukan dalam menentukan calon yang layak menang.

“Dalam hal ini, GPS tidak boleh memandang ringan saingan diberikan terutamanya oleh PSB yang dilihat menjadi pencabar utama selain DAP turut mempunyai pengaruh kuat dalam kalangan masyarakat Cina,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan seramai 349 calon dari 10 parti politik termasuk Bebas layak bertanding pada PRN-12, sekali gua menjadikannya sebagai pilihan raya teramai disertai calon di negeri ini.

BBerkaitan

Latest articles