KUALA LUMPUR: Berbanding UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sering memperjuangkan konsep ketuanan Melayu, DAP percaya pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang PRU15 adalah lebih baik.
Menurut veteran DAP, Lim Kit Siang, ini kerana Presiden PKR itu mendukung konsep Malaysia majmuk untuk semua masyarakat.
Malah beliau juga percaya Anwar merupakan calon perdana menteri terbaik jika dibandingkan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Kerana inilah Anwar adalah calon Perdana Menteri ke-10 yang lebih baik berbanding dengan calon-calon lain dari dua gabungan politik UMNO/BN dan PN.
“Zahid (pula) mengatakan yang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadi Perdana Menteri sekiranya gabungan UMNO, BN menang. Saya tidak rasa yang Ismail Sabri benar-benar percaya dengan Zahid walaupun dia terpaksa berpura-pura yang Zahid akan mengotakan janjinya ini.
“Adakah kita mahu Muhyiddin ‘si penikam belakang’ atau Hadi yang merupakan pelampau Islamis menjadi perdana menteri – Hadi yang mengatakan rasuah dalam kalangan orang Islam tidak apa tetapi tidak boleh dalam kalangan orang bukan Islam?
“Kedua-dua gabungan politik ini tidak menerima Malaysia sebagai masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya,” katanya.
Kit Siang berkata, walaupun tidak lagi berada dalam politik barisan hadapan, beliau akan terus memberikan jiwa dan raga untuk mengejar impian Malaysia.
Ianya bermula dengan cita-cita untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 untuk memulakan proses pemulihan dan pembaharuan Malaysia supaya dapat menjadi sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia.