BATU KAWAN: Meskipun bersetuju dengan pembetukan kabinet yang lebih kecil, DAP Pulau Pinang berpandangan pelantikan menteri dalam Kabinet kerajaan Perpaduan, bukanlah satu agihan yang seimbang.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata parti yang memenangi kerusi yang sedikit berbanding DAP, dilihat mendapat lebih banyak jawatan menteri dalam kabinet.
“Daripada pandangan awal kami, ini pengagihan tidak seimbang (barisan Menteri dalam Kabinet).
“Kita terima ada empat menteri DAP tetapi jumlahnya lebih sedikit berbanding parti lain dan tiada seorang pun daripada tujuh Ahli Parlimen DAP Pulau Pinang dilantik sebagai menteri.
“Namun kami memahami ini kerajaan perpaduan dan pada akhirnya ia terpulang kepada keputusan Perdana Menteri untuk memilih siapa yang patut berada dalam Kabinetnya,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuang Yu di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya pandangan beliau berhubung komposisi jawatan timbalan menteri, Kon Yeow tidak mahu mengulas selagi pengumuman mengenainya belum dibuat.
“Saya masih perlu menunggu pengumuman tersebut,” katanya ringkas.