DAP Melaka Kepada Akmal- ‘Siapa Kamu Suruh Kami Keluar Kerajaan?’

KUALA LUMPUR: DAP Melaka membidas gesaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang mencabar parti itu supaya menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan negeri, dengan menegaskan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan hala tuju pentadbiran kerajaan.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata kenyataan Dr Muhamad Akmal sememangnya mencetuskan perbincangan dalam kalangan ahli parti, namun disifatkan sebagai tidak berasas dan melangkaui bidang kuasa beliau.

Tegasnya, keputusan berkaitan kedudukan parti dalam kerajaan bukan ditentukan oleh seorang pemimpin sayap, sebaliknya berada di bawah kuasa pimpinan tertinggi UMNO dan kerajaan negeri.

“Ada yang tanya saya, sekarang Akmal suruh kita keluar daripada Kerajaan Perpaduan. Saya nak tanya, siapa Akmal? Dalam hal ini, yang membuat keputusan ialah Presiden UMNO, bukannya Akmal Saleh,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kewibawaan Dr Muhamad Akmal dalam menentukan pelantikan Exco kerajaan negeri.

“Kuasa melantik Exco adalah di tangan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bukan Akmal Saleh,” katanya lagi.

Poay Tiong berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Melaka Ke-25 yang berlangsung di sini hari ini, yang dirasmikan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan (PH) merangkap Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari serta Ketua Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.

Semalam, Dr Muhamad Akmal mencabar pemimpin DAP supaya meletakkan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka, memandangkan parti itu turut menjadi sebahagian daripada kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN).

Cabaran tersebut dibuat ketika beliau berucap pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka mengingatkan Dr Muhamad Akmal bahawa penyertaan DAP dalam Kerajaan Perpaduan negeri adalah atas jemputan Ketua Menteri sendiri selepas mengangkat sumpah jawatan pada 2023.

Katanya, langkah itu selari dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Pada ketika itu, Ketua Menteri menjemput DAP untuk bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan negeri. Atas semangat perpaduan tersebut, beliau meminta seorang wakil DAP dilantik sebagai Exco, dan kami menerima jemputan itu demi berkhidmat kepada rakyat,” tegasnya.

Dalam nada lebih keras, Poay Tiong menegaskan DAP tidak pernah gentar untuk bergerak bersendirian dan mempunyai pengalaman panjang sebagai pembangkang.

Namun, katanya, sebarang keputusan besar tidak akan dibuat secara tergesa-gesa atau demi kepentingan jawatan semata-mata.

“Kami tidak takut turun solo. DAP bukan parti yang tamak jawatan Exco atau Menteri. Tetapi sebagai parti yang bertanggungjawab, kami perlu memikirkan kesan kepada rakyat sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles