DAP Mahu Perbetul Keadaan Untuk Hadapi PRU15

KUALA LUMPUR: DAP akan melakukan penilaian terhadap empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang kalah pada semalam.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, walaupun parti itu sekadar memenangi 10 kerusi, DAP dan Pakatan Harapan (PH) akan terus mempertahankan kehidupan rakyat dengan memperjuangkan isu kenaikan harga barang, menolak cukai pendapatan sumber asing dan menentang kenaikan denda kompaun yang melampau bagi pelanggaran prosedur operasi standard Covid-19 kepada RM10,000 bagi individu dan RM1 juta untuk syarikat.

”Bagi 10 kerusi yang dimenangi DAP, DAP akan memastikan wakil rakyat kami berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik mungkin untuk menunaikan amanah yang diberikan oleh rakyat. Bagi 4 kerusi yang DAP kalah, kita akan buat pasca nilai.

Namun beliau tidak menafikan prestasi perkhidmatan wakil rakyat sebelum ini menjadi salah satu faktor.

”Malangnya, di sebalik perkhidmatan cemerlang Sheikh Omar Bagharib Ali, beliau tidak dapat mengekalkan kerusi Paloh. Di Yong Peng, calon kami adalah calon baru tetapi rekod perkhidmatan cemerlangnya sebagai ADUN Senai membantu calon baharu kami menang di Senai dengan meyakinkan.

”Saya telah bercakap dengan semua 4 calon yang kalah dan mereka komited untuk terus berkhidmat di kawasan mereka bertanding walaupun telah kalah.

”Perpaduan dan komitmen yang ditunjukkan boleh dilihat dengan perjuangan di Yong Peng dalam cubaan membalikkan serangan ganas MCA yang mencurahkan segala-galanya di Yong Peng.

”Walaupun perjuangan itu tidak berjaya, usaha itu memberi perangsang kepada seluruh parti dan menggerakkan semua ahli untuk berjuang lebih keras dan membolehkan kami mengekalkan 10 kerusi DAP,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Guan Eng memberitahu PH akan mengambil pendekatan menerangkan lagi inisiatif “Khemah Besar” PH untuk menentang Barisan Nasional (BN).

Dakwanya lagi DAP komited untuk menjaga, membantu dan mempertahankan hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama di bawah konsep Mengutamakan Rakyat Malaysia.

”Kita mesti bekerjasama dengan mendahulukan identiti Malaysia kita daripada perkara yang lain,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles