DAP Kritik Tun M, Orang Cina Di Malaysia ‘Tak Gagal’ Walaupun Masih Makan Dengan Penyepit

KUALA LUMPUR: Setelah tidak lagi bersama sebagai kerajaan persekutuan, pembangkang, yakni Pakatan Harapan (PH) dan Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sukar untuk mengekalkan hubungan yang baik.

Hari ini, DAP mengkritik bekas Perdana Menteru itu yang telah menggambarkan penggunaan penyepit (chopstick) oleh masyarakat Cina sebagai analogi kegagalan kaum tersebut untuk berasimilasi di negara ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mengecam kenyataan Mahathir itu menegaskan, penduduk bukan Melaku perlu diintegrasikan dan bukan diasimilasi, menyifatkan komen itu sebagai menyinggung perasaan orang Cina.

Mengambil sikap Mahathir dengan ‘dasar pandang ke Timur’ yang dibawanya sebelum ini, Guan Eng menegaskan bahawa bukan sahaja penduduk China atau Taiwan sahaja menggunakan penyepit tetapi penduduk di Jepun, Korea Selatan dan Vietnam juga menggunakan alat itu.

”Memandangkan Tun adalah penyokong Dasar Pandang ke Timur yang merangkumi negara-negara ini, Tun tidak pernah mengungkit soal makan dengan menggunakan penyepit sebagai isu.

”Adakah itu bermakna Melayu yang menggunakan penyepit atau garfu dan sudu untuk makan hilang kemelayuannya? Malah, ramai rakyat Malaysia dan barat bukan Cina berbangga dengan kebolehan mereka menggunakan kedua-dua penyepit serta garfu dan sudu tanpa kehilangan identiti negara mereka,” katanya.

Tambahnya, makan dengan penyepit tidak menjadikan sesiapa pun kurang nilai sebagai rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata rakyat Malaysia berketurunan Cina yang dilahirkan di sini berbangga dengan kesetiaan mereka kepada Malaysia dan tidak berhasrat untuk kembali ke negara China yang berkembang dengan kekayaan dan kemakmuran, walaupun diberi peluang untuk berbuat demikian.

”Masyarakat Cina di Malaysia sentiasa mengenali dirinya dengan Malaysia dan tidak pernah dengan China. Malah 2 juta rakyat Malaysia yang berhijrah, sama seperti orang Melayu dan India lain, memilih negara barat kerana prospek gaji yang lebih baik dan peluang yang sama,” ujarnya.

Kritikan itu menyusul seleps Mahathir dipercayai mengaitkan penggunaan penyepit sebagai analogi untuk menggambarkan kegagalan kaum Cina untuk berasimilasi di negara ini.

Ujar Mahathir, orang Cina telah mengekalkan budaya dan cara hidup mereka di Malaysia, dengan menyebut penggunaan penyepit dan bukannya “mengguna pakai cara rakyat Malaysia” dengan tangan.

Kenyataan Ahli Parlimen Langkawi itu turut menarik perhatian bekas Naib Pengerusi PKR, Rafizi Ramli, yang dipetik sebagai berkata tanggapan Mahathir itu  tidak adil kepada kaum Cina dan India di negara ini.

Sementara itu, Guan Eng berkata, menolong seorang atau dua taikun Cina adalah seperti membantu mana-mana taikun dari kaum lain dan tidak boleh disamakan dengan membantu masyarakat Cina.

Begitu juga dengan sumbangan masyarakat Cina yang tidak seharusnya dipersoalkan atau didiskriminasikan hanya kerana perbezaan bahasa, adat, nama, gaya hidup mahupun cara pemakanan mereka.

”Masyarakat Cina melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia tetapi malangnya ada pihak yang tidak mahu menerima hakikat ini. Sudah tiba masanya untuk menghapuskan prasangka dan perpecahan itu dengan menerima masyarakat Cina sebagai warganegara Malaysia yang mempunyai hak penuh seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Barulah kita boleh bekerjasama untuk merealisasikan potensi penuh kita untuk menjadikan Malaysia lebih adil, makmur, bebas dan menegakkan keadilan untuk semua,” kata Guan Eng.

BBerkaitan

Latest articles