DAP Hari Ini Tak Sama Dengan DAP Lama, Makin Terbuka Dengan Agenda Melayu

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Saarani Mohamad percaya DAP yang selama ini menjadi musuh parti itu sudah berbeza dan kini semakin terbuka, selain menerima cita rasa serta haluan UMNO yang mendukung perjuangan orang Melayu.

Menurut Menteri Besar Perak itu, perubahan DAP mula kelihatan sebelum pembentukan kerajaan perpaduan, dengan menyatakan persetujuan mereka tidak mengungkit soal hak-hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak juga berkata, perkara itu telah dibincangkan dan dipersetujui DAP, malah kepimpinan parti itu sendiri secara terbuka mengakui hal tersebut termasuk dalam siri ceramah kempen PRN baru-baru ini.

“Yang menghantui hubungan UMNO-DAP selama ini adalah dahulunya (ketika penubuhan), DAP ini dikatakan parti yang tak mesra dengan perjuangan dan hak orang Melayu,” katanya kepada pemberita selepas program bersama jentera Umno di Pulai semalam.

“Namun, sebelum terbentuknya kerajaan perpaduan, DAP sudah menyatakan persetujuan tidak lagi mengungkit perkara berkaitan hak orang Melayu, agama Islam dan mereka akur dengan Perlembagaan Persekutuan, itu sudah cukup menunjukkan DAP dah berubah,” katanya mengulas kenyataan seorang lagi ahli MKT, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed yang berpandangan DAP mesti mengubah dasar parti itu agar menjadi lebih sederhana untuk mendapat sokongan orang Melayu.

Saarani turut yakin dengan keserasian dan perpaduan antara DAP dan semua parti dalam kerajaan perpaduan bagi menghadapi PRU16 nanti.

“Misalnya dalam PRU16 nanti, DAP semestinya tidak bertanding di kawasan UMNO dan begitu juga sebaliknya, jadi pengagihan kerusi lebih mudah,” katanya.

“Tetapi kalau (bekerjasama) dengan PAS dan Bersatu, pasti mereka akan berebut kawasan dengan UMNO …kita masuk (bekerjasama sebelum ini) dengan PAS dan Bersatu hanya untuk ‘dibunuh’,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles