KUALA LUMPUR: DAP hari ini menegaskan bahawa Malaysia berhak menerima calon Duta Besar Amerika Syarikat (AS) yang lebih layak dan sesuai daripada Nick Adams, memandangkan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini serta hubungan erat dengan AS sebagai rakan strategik komprehensif.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) merangkap Setiausaha Hubungan Antarabangsa DAP, Kasthuri Patto berkata, Presiden AS Donald Trump wajar menghormati pandangan rakyat Malaysia yang menolak keras pelantikan Adams ke jawatan itu.
Menurut Kasthuri, Adams sebelum ini mencetuskan pelbagai kontroversi termasuk kenyataan di media sosial yang merendahkan wanita, selain pandangan ekstrem dan konservatif yang condong ke arah Islamofobia.
“Seorang duta sepatutnya memainkan peranan membentuk dasar luar, memudahkan komunikasi diplomatik, menghadiri mesyuarat dan program budaya serta mengikuti perkembangan semasa di negara dia bertugas.
“Tetapi berapa banyak daripada kriteria ini yang dipenuhi oleh Nick Adams? Apa pendiriannya tentang dasar luar, diplomasi, multilateralisme, hak asasi manusia, isu gender, migran, jenayah terhadap kemanusiaan, agama dan perpaduan sosial?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Trump melalui platform Truth Social mengumumkan pencalonan Adams iaitu seorang pengulas politik konservatif kelahiran Australia yang hanya menjadi warga AS kira-kira empat tahun lalu sebagai Duta Besar AS ke Malaysia.
Namun, pencalonan tersebut menimbulkan bantahan pelbagai pihak di Malaysia yang menganggap pandangan kontroversinya tidak selari dengan pendirian negara ini.
Kasthuri turut mempersoalkan sama ada Adams benar-benar layak menjadi jambatan hubungan dua hala ketika dunia berdepan cabaran perang perdagangan, isu hak asasi manusia serta ketidakstabilan global.
“Adakah Nick Adams akan mampu menjalankan tugasnya dengan berani, tanpa takut atau pilih kasih sebagai wakil AS untuk masyarakat yang berbilang budaya, kaum dan agama?” soalnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan hubungan erat Malaysia-AS selama ini telah banyak membawa manfaat terutama dalam bidang perdagangan, pendidikan, kesihatan, teknologi dan hak asasi manusia.
“Hubungan baik ini perlu terus dipelihara supaya lebih banyak kerjasama dan dialog dapat diwujudkan untuk kebaikan kedua-dua negara pada masa akan datang,” ujarnya.