DAP Bukan ‘Duduk Diam’ Dalam Kerajaan, Bukan Anti-Melayu

SHAH ALAM: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menafikan keras dakwaan kononnya parti itu menjadi ‘senyap’ dan tidak lagi berani bersuara selepas menyertai kerajaan.

Menurut beliau, sepanjang berada dalam Kabinet, DAP terus konsisten memperjuangkan agenda reformasi dan kebajikan rakyat seperti yang dijanjikan dalam manifesto.

“Ada yang kata DAP sudah diam dan takut bersuara. Tapi pada masa sama, ada pula yang kata mereka perlu masuk kerajaan untuk lawan DAP. Jadi, yang mana satu sebenarnya?” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Selangor 2025, hari ini.

Anthony berkata, hakikat masih ada pihak yang mahu ‘melawan’ DAP membuktikan parti itu tidak pernah berdiam diri dalam Kabinet.

“Itu menunjukkan kita tidak pernah senyap. Kita bawa agenda kita dan kita tidak malu-malu, kerana ia datang daripada manifesto,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, walaupun DAP tegas membawa isu reformasi institusi dan kepentingan rakyat, setiap keputusan kerajaan tetap perlu melalui proses rundingan dan persetujuan bersama dalam Kabinet.

Dalam ucapannya, Anthony turut menolak dakwaan bahawa DAP adalah parti perkauman atau anti-Melayu, sebaliknya menegaskan DAP adalah parti untuk semua rakyat Malaysia.

“Kita ada ahli dan penyokong Melayu, termasuk ramai anak muda di Selangor. DAP ini parti untuk semua,” katanya.

Beliau memberi contoh isu keselamatan jalan raya sebagai antara agenda yang diperjuangkan DAP demi kepentingan orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

“Setiap tahun, majoriti mangsa kemalangan jalan raya ialah penunggang motosikal dan hampir 80 peratus daripada mereka adalah anak Melayu. Sebab itu kita perjuangkan keselamatan jalan raya,” jelasnya.

Selain itu, Anthony menegaskan DAP tidak pernah menentang usaha membantu golongan miskin atau meningkatkan taraf hidup rakyat tanpa mengira kaum.

“Kalau untuk bantu orang miskin dan tingkatkan ekonomi rakyat, sama ada Melayu, Cina atau India, kita tak pernah bantah,” katanya.

Beliau menegaskan perjuangan DAP bukan untuk memusuhi mana-mana kaum atau parti, sebaliknya untuk menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan.

“Kita masuk politik bukan untuk bermusuh, tetapi untuk bina negara dan bela rakyat,” katanya sambil mengingatkan ahli parti agar kekal fokus dan tidak terpengaruh dengan serangan politik pihak yang tidak jelas hala tujunya.

BBerkaitan

Latest articles