KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak tindakan pemimpin DAP, termasuk Tony Pua, yang dilihat begitu ghairah meraikan keputusan mahkamah berkaitan titah adendum Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tegas beliau, tiada siapa menghalang DAP untuk bergembira, namun rakyat tidak boleh menutup mata terhadap motif sebenar di sebalik sorakan itu.
Menurut Puad, keterujaan DAP bukan semata-mata berkait dengan individu Najib, sebaliknya berpunca daripada keputusan mahkamah yang disifatkan telah mengecilkan peranan dan kuasa Raja-Raja Melayu.
Dalam nada tegas, Puad turut mengingatkan bahawa rakyat Sabah terlebih dahulu ‘meraikan’ kemenangan besar apabila DAP dibelasah 8-0 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Katanya, keputusan itu menjadi bukti jelas penolakan rakyat terhadap DAP yang didakwa sarat dengan pemimpin bermasalah dan gemar menabur tuduhan.
Beliau membidas Tony Pua yang melabel penyokong Najib sebagai “pencinta penyangak”, sambil menegaskan DAP sendiri jauh daripada bersih.
Kenyataan itu dibuat susulan kenyataan Tony Pua yang bukan sahaja mengecam penyokong Najib, malah secara terbuka mendabik dada mendakwa DAP berbangga kerana memainkan peranan dalam pemenjaraan bekas Perdana Menteri itu, sekali gus mencetuskan kemarahan dan kritikan pelbagai pihak.










