DAP, Amanah Gesa Bincang Isu Shafie Dalam Mesyuarat PH

Isu pencalonan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai perdana menteri perlu dibincang dan diputuskan secara bersama melalui Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), demikian tegas DAP dan Amanah.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional telah diadakan untuk membincangkan cadangan berkenaan, selain mencari jalan mendapatkan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen PH supaya dapat membentuk semula kerajaan.

“Setelah mengambil pandangan semua ahli mesyuarat, jawatankuasa menganggap persoalan ini perlu diputuskan bersama dalam Majlis Presiden PH demi menjamin kesepakatan dan kebersamaan dalam menangani persoalan ini,” katanya dalam kenyataan.

Begitu juga DAP, menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang memaklumkan bahawa jawatankuasa tertinggi pusatnya (CEC) mahu isu yang sama diputuskan menerusi mesyuarat peringkat tertinggi gabungan pembangkang itu.

“CEC menegaskan pendirian bahawa kedudukan Pakatan Harapan perlu diperkukuhkan dan pada masa yang sama, Pakatan Harapan juga perlu bekerjasama dengan semua parti yang komited untuk menentang Perikatan Nasional.

“CEC mengambil maklum bahawa cadangan pencalonan ini adalah bersejarah kerana melibatkan seorang pemimpin dari Malaysia Timur dipertimbangkan buat julung kalinya,” katanya.

Minggu lalu bekas pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadang dan menyokong pencalonan Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah sebagai perdana menteri sekiranya PH kembali sebagai kerajaan persekutuan.

Dr Mahathir menentang keras pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan berkenaan, sementelah parti tersebut turut berkeras menolak pencalonan Ahli Parlimen Langkawi itu buat kali ketiga.

Pencalonan Shafie itu turut disusuli dengan cadangan Anwar dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai timbalan perdana menteri I dan II.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,871FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini