KUALA LUMPUR: Siasatan awal penyelewengan perbelanjaan yang didakwa dilakukan Perikatan Nasional (PN) berjumlah RM600 bilion mendapati anggaran jumlah peruntukan untuk dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 adalah sebanyak RM530 bilion.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion pula bukan daripada kerajaan.
“SPRM telah menerima daripada Kementerian Kewangan butiran pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang telah dibelanjakan oleh kerajaan pada tahu 2020 dan 2021 berkenaan pengurusan Covid-19
“Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion. Berdasarkan jumlah tersebut RM92.5 billion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion berkenaan.
Pihak Kementerian Kewangan, menurut SPRM, sedang meperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada badan pencegahan rasuah itu minggu hadapan.