Dana RM169 Juta, Jongkong Emas 16kg Dikaitkan Ismail Sabri Dilucuthak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan dana bernilai lebih RM169 juta dalam pelbagai mata wang asing serta jongkong emas 16 kilogram yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan bekas setiausaha politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas kedua-duanya tidak mencabar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain tiada pihak ketiga tampil membuat tuntutan.

“Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan. Wang tunai ini dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM,” katanya ketika prosiding.

Menurut SPRM, rampasan melibatkan RM14.77 juta dalam mata wang tempatan, S$6.13 juta (dolar Singapura), AS$1.46 juta (dolar Amerika Syarikat), 3 juta franc Swiss, €12.16 juta (euro), ¥363 juta (yen Jepun), £50,250 (pound sterling), NZ$44,600 (dolar New Zealand), AED34.75 juta (dirham Emiriah Arab Bersatu) dan A$352,850 (dolar Australia.

Selain itu, jongkong emas seberat 16 kilogram bernilai kira-kira RM7 juta turut disita, dipercayai berkait siasatan rasuah dan pengubahan wang haram.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan bahawa notis warta telah diterbitkan pada 22 September lalu bagi memberi peluang kepada pihak ketiga menuntut aset tersebut, namun tiada pihak tampil.

Empat pegawai kanan yang pernah berkhidmat dengan Ismail Sabri ditahan Februari lalu, manakala beberapa kediaman serta pejabat turut diserbu selepas dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan aset.

Ismail Sabri, yang juga Ahli Parlimen Bera, sebelum ini beberapa kali dipanggil ke pejabat SPRM bagi memberi keterangan mengenai pengisytiharan asetnya.

BBerkaitan

Latest articles