Dana RM10 Juta: AJK PH S’wak Akui Silap, Mohon Maaf Kepada Dr Akmal

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa (AJK) Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Zairy Abdullah, hari ini memohon maaf secara terbuka kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, susulan penyebaran dakwaan fitnah di media sosial berkaitan peruntukan RM10 juta.

Zairy mengakui kesilapannya selepas mendakwa Dr. Muhamad Akmal menerima dana tersebut daripada peruntukan komunikasi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mengakui, maklumat itu diperoleh daripada sumber yang tidak sahih.

“Saya mengakui kesilapan dalam menyebarkan maklumat tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihannya. Saya amat kesal atas kekeliruan serta kesan negatif yang mungkin timbul akibat komen tersebut,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.

Beliau turut berjanji untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat pada masa hadapan serta memastikan segala fakta diperiksa sebelum disebarkan.

“Saya dengan rendah hati memohon maaf kepada Dr. Muhamad Akmal dan sesiapa sahaja yang terkesan dengan komen saya. Saya menghargai segala jasa dan usaha beliau serta berjanji untuk lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan saya di media sosial,” tambahnya.

Sebelum ini, Dr. Muhamad Akmal mencabar Zairy untuk membuktikan dakwaannya berhubung peruntukan RM10 juta tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya Zairy tidak mengemukakan bukti atau memohon maaf secara terbuka.

“Satu fitnah jahat telah disebarkan terhadap saya. Saya cabar individu ini, yang telah memadam profil Facebooknya, untuk melaporkan kepada pihak berwajib jika benar saya menerima peruntukan seperti didakwa. Jika tidak, sila minta maaf atau kita bertemu di mahkamah,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles