“Damailah Di Sana”, Doa Isteri Arwah Dr Ali

Kuala Lumpur: Gambar dan kisah yang tular berkenaan seorang doktor yang meninggal dunia pada semalam, bukanlah disebabkan COVID-19 atau terlalu penat kerana bertugas sepanjang pandemik.

Menerusi satu hantaran di Facebook, yang dipercayai daripada isteri Allahyarham Dr Ali Noor Hassan, wanita itu menjelaskan kematian suaminya disebabkan ‘Acute Respiratory Distress’.

“Tiba-tiba banyak dapat request friend (permintaan rakan) sebab sudah viral (tular), ramainya yang mendoakan arwah suami Dr Ali Noor Hassan. Beribu-ribu orang share (kongsi) dan doakan dia. Alhamdulillah,” tulis wanita itu yang menggunakan akaun nama Asilah Alqarny di Facebook.

Beliau turut menceritakan keperibadian lelaki berkenaan dalam hantaran yang sama.

“Beliau banyak bersedekah, setiap hari walau sedikit. Damailah di sana wahai suamiku.”

Menurutnya, suaminya banyak terbabit dengan aktiviti jemaah tabligh dan memeriksa pesakit percuma ketika Ijtimak Tabligh.

“Tidak berkira kerja dengan kawan dan dia antara yang suka ziarah sahabat serta saudara sakit. Ramai yang mesej Dr Ali antara orang pertama melawat apabila kawan kawan tak sihat,” katanya.

Menurutnya, ketika ibunya masih ada, arwah banyak memuliakan dan berbakti kepada ibu.

“Setiap kali beli lauk untuk family (keluarga) mesti akan belikan lauk yang sama untuk arwah emak dia semasa hidup.

“Mak nak ke klinik atau rawatan memang dia akan usahakan cuti untuk berkhidmat kepada mak dia,” katanya.

Katanya, ketika ibu arwah didiagnos kanser paru-paru pada Ogos 2018, arwah sanggup mengambil cuti separuh gaji untuk menjaga ibunya.

“Sehingga ke akhir hajat mak dia di IKN (Institut Kanser Negara), dia antara yang ajar mak kalimah syahadah,” katanya.

Media pada semalam melaporkan seorang doktor yang bertugas sebagai barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia.

Berita sedih itu disampaikan menerusi hantaran dimuat naik Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) di Facebook (FB).

Dalam hantaran itu, SPJM berkongsi gambar terakhir Dr Ali yang sempat diambil rakannya sebelum beliau jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih selain kekurangan masa untuk beristirehat selepas bertugas di barisan hadapan KKM menangani COVID-19.

Difahamkan beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan.

BBerkaitan

Latest articles