Dalang Eksploitasi Seksual Kanak-kanak Antarabangsa Dicekup Di Malaysia, Diekstradisi FBI Ke AS

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai menjadi dalang kepada rangkaian eksploitasi seksual kanak-kanak di peringkat antarabangsa berjaya ditahan di Malaysia sebelum diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Pengarah FBI, Kash Patel, memaklumkan suspek dikenali sebagai Zobaidul Amin, 28, telah lama diburu pihak berkuasa AS sejak 2022 kerana didakwa mengendalikan rangkaian eksploitasi seksual kanak-kanak yang beroperasi merentasi beberapa negara.

Menurutnya, suspek berjaya diberkas hasil kerjasama rapat antara FBI dan pihak berkuasa Malaysia sebelum dihantar pulang ke AS bagi menghadapi proses perundangan.

“Zobaidul telah tiba di Alaska semalam dan dijangka didakwa di mahkamah pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X.

Patel turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia serta agensi penguat kuasa tempatan yang membantu menjejak dan menahan suspek.

“Terima kasih kepada pejabat kami di Kuala Lumpur, kerajaan Malaysia serta rakan-rakan penguat kuasa tempatan di seluruh negara yang memainkan peranan penting dalam siasatan dan penahanan ini,” katanya.

Dalam hantaran sama, Patel turut berkongsi sekeping gambar yang memaparkan tiga individu dipercayai pegawai FBI mengiringi Zobaidul menaiki sebuah pesawat peribadi yang mendarat di Malaysia sebelum berlepas ke AS.

BBerkaitan

Latest articles