Dalam Keseronokan Balik Kampung, Jaga Keselamatan Diri, Ibu Bapa

KUALA LUMPUR: Di kala ramai orang sedang membuat persiapan hendak pulang ke kampung halaman bertemu ibu bapa, mereka dinasihatkan supaya sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malah mengingatkan setiap individu untuk melakukan ujian COVID-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan, sebagai langkah menjaga keselamatan diri dan ibu bapa di kampung.

Bagi mereka yang bergejala, seeloknya menangguhkan dahulu kepulangan itu sehingga benar-benar sembuh daripada sebarang simptom.

“Pasti ramai seronok dengan kebenaran merentas negeri. Sudah terlalu lama rindukan kampung halaman mahu bertemu ahli keluarga dan sanak saudara.

“Nasihat saya patuhilah saranan kerajaan iaitu sentiasa menjaga SOP dan lakukan ujian COVID-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan. Bagi yang bergejala sebaiknya tangguhkan dahulu sehingga bebas jangkitan.

“Kita telah berkorban begitu lama, tidak rugi bersabar untuk seketika sebelum kita benar-benar selamat untuk ayah, ibu, suami, isteri, adik beradik dan rakan taulan di kampung,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media khas, mengumumkan rentas negeri berkuatkuasa hari ini, 11 Oktober 2021 tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis.

Bagaimanapun, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP dan perlu lengkap dua dos vaksin sebagai syarat.

Menurut Ahmad Zahid, rakyat perlu bersikap bertanggungjawab dalam perkara penting itu, jangan kerana keseronokan yang singkat, tetapi penyesalannya tidak berkesudahan.

Pada masa sama, beliau menyarankan orang ramai mengatur perjalanan masing-masing untuk mengelakkan kesesakan yang diramal berlaku di kebanyakan tempat.

“Ramai menjangkakan pengumuman kebenaran rentas negeri ibarat “the biggest holidays” atau perayaan terbesar untuk rakyat Malaysia.

“Begitu ramai akan memulakan pergerakan ke sana ke sini, maka berhati-hatilah di jalan raya dan elakkan tempat yang padat dengan orang ramai untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan.

“Kita juga berharap pihak berwajib telah bersiap siaga untuk mengendalikan kesesakan lalu lintas bagi memudahkan urusan rakyat,” katanya.

Berita Berkaitan

Komen

Terkini