Dalam Isu Najib, PAS Pilih Pengampunan, Tolak Politik Dendam

KUALA LUMPUR: Berteraskan ajaran Nabi Muhammad SAW yang mengutamakan keadilan dan kemaafan, PAS juga mengambil pendirian yang sama terhadap isu titah adendum Datuk Seri Najib Razak.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata partinya mengambil kira isu pengampunan bekas perdana Menteri itu lebih utama jika dibandingkan dengan politik dendam.

Menerusi hantaran Minda Presiden PAS di Facebooknya, Abdul Hadi turut berpandangan tidak ada yang pelik dengan kewujudan titah adendum Najib itu.

“Mereka yang menolaknya, sama ada kerana jahil agama atau kalangan bukan Islam atau dendam dan tidak sabar ketika berkuasa.

“PAS tetap menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai hukum tertinggi, termasuklah terhadap orang yang paling bermusuh dengannya,” katanya.

Menyentuh soal Najib, Abdul Hadi kemudiannya merujuk kepada peristiwa bersejarah Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah) di mana Rasulullah SAW menunjukkan contoh pengampunan penuh kepada mereka yang pernah menjadi musuh Islam.

Selain merujuk beberapa ayat al-Quran berkenaan soal kemaafan dan eadilan, beliau mengkritik pihak yang menolak konsep itu dan menyifatkan mereka sebagai jahil agama atau dipengaruhi dendam politik.

“Konsep adil kepada semua dan mendahulukan kemaafan menjadikan konsep Islam berjaya mengalahkan golongan penjajah yang lebih kuat dan kaya.

“Banyak kenyataan tokoh ilmuwan dan politik Barat melabelkan slogan Islam itu lebih bahaya daripada fahaman komunis yang dianggap paling kejam dan penjajah liberal yang paling menipu dan ganas.

“Sehingga mencetuskan fitnah Islamofobia dan bahaya gelombang hijau yang ditaja oleh DAP,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada Isnin lalu Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan untuk menguatkuasakan titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong yang lalu.

Dalam keputusan 2-1, panel tiga hakim memutuskan agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman.

Najib sebelum ini mendakwa bahawa terdapat titah diraja tambahan yang bertarikh 29 Januari tahun lalu, yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah.

Pada 29 Januari tahun lalu, Lembaga Pengampunan memaklumkan bahawa hukuman penjara ke atas Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Hukuman ini berkaitan kes salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram melibatkan penyelewengan RM42 juta daripada SRC International.

BBerkaitan

Latest articles