KUALA LUMPUR: Terdapat beberapa teknik dan proses yang perlu dilakukan dalam penghasilan video atau filem untuk memasukkan, menggantikan atau merakamkan semula dialog yang rosak atau terdapat gangguan pada rakaman asal.
Pengarah dan pelakon, Nam Ron mengulas mengenai tenik voice over yang didakwa digunakan dalm video bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.
Ujar Nam Ron, proses yang perlu dilakukan sewaktu post production di studio bukan mudah kerana seseorang perlu memastikan gerak bibir harus selari dengan ucapan dialog.
Bahkan beliau juga menyifatkan sesuatu yang mustahil untuk menggantikan dialog lain yang tidak seperti diucapkan dalam rakaman asal.
Tambah Nam Ron, teknik voice over seperti yang dikatakan Abdul Wahab hanya digunakan untuk menampal suara pada imej yang lain bukan pada imej yang sama.
“Sebagai contoh, watak lelaki bernama Gajus menelefon seorang lelaki muda untuk mengajaknya melakukan hubungan songsang.
“Pengarah ingin mengubah atau menambah dialog Gajus. Apa yang perlu dilakukan adalah menukar syot Gajus kepada syot lelaki muda dan memasukkan dialog baharu di syot ini.
“Kedua, pengarah atau sound editor boleh gunakan insert shot dengan menunjukkan gambar beg LV ketika menggunakan dialog baharu tersebut,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Dalam masa yang sama, Nam Ron secara sinis meminta pihak yang mendakwa penggunaan teknik voice over di dalam video perbualan intim itu perlu merujuk dahulu dengan orang yang tahu tentang selok belok suntingan.
Terdahulu menerusi sidang media pada Jumaat, Abdul Wahab mendakwa kandungan audio di dalam video tersebut adalah palsu, direka dan tidak benar kerana telah disunting mengunakan teknik voice over.
Penolong pegawai J-KOM itu mendakwa dia telah diarahkan pegawai atasan yang digelarnya sebagai Mr H untuk merakam perbualan bersama Mohammad Agus.
Lelaki itu mengakui dia merakam visual video berkenaan namun isi perbualannya bukan seperti yang tersebar dan tular di media sosial.