KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan semua dakwaan bekas pengawal peribadi Sirul Umar Azhar, dalam satu wawancara yang disiarkan program Al Jazeera’s 101 East mengenai pembunuhan Altantuya Shaaribuu pada 2006.
Peguam bela & Peguam cara Shafee and Co berkata demikian dalam satu kenyataan bagi pihak Najib, sebagai respon kepada dakwaan Sirul bahawa Najib meminta Kerajaan Malaysia melakukan libat urus dengan pihak berkuasa Australia, dengan matlamat untuk memudah cara penyerahan balik Sirul ke Malaysia bagi memastikan satu siasatan komprehensif ke atas dakwaannya.
“Bagi menyokong usaha ini, anak guam kami mencadangkan kepada Kerajaan Malaysia kemungkinan menawarkan jaminan untuk tidak mengenakan hukuman mati bagi memudah cara objektif keadilan dan kebenaran secara meluas.
“Anak guam kami (Najib) mempertahankan kesemua hak perundangan dan remedi dalam perkara ini terhadap Sirul, Al Jazeera dan wartawannya Mary Ann Jolley, beliau kekal teguh menafikan sebarang penglibatan dalam kematian tragik Altantuya Shaaribuu menerusi jenayah yang amat kejam itu.
“Kami mahu menegaskan bahawa anak guam kami (Najib) telah dilepaskan secara muktamad daripada sebarang penglibatan dalam kes ini dan ini disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan, termasuk siasatan semula pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 dan disahkan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan menerusi rayuan substantif di Mahkamah Persekutuan yang mendengarnya secara komprehensif berdasarkan merit,” kata firma guaman itu. – BERNAMA