PAGOH: Pengundi diingatkan tidak mudah mempercayai setiap dakwaan dan ramalan yang diucapkan Rafizi Ramli, begitu juga firma penyelidikan data mesra Pakatan Harapan (PH), Invoke Malaysia.
Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ramalan kononnya PH mampu ‘sapu’ 100 kerusi Parlimen seperti yang didakwa Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak senada dengan kenyataan Rafizi yang mendakwa gabungan itu hanya sekadar menang di 80 kerusi.
“Apa yang penting akhirnya (kita) tunggu 19 November ini. Ramalan-ramalan Rafizi ini, saya nak ingatkan kadang-kadang bila menjadi, dia ambil kredit, (namun apabila) ramalan yang dia buat tak menjadi, orang lupa.
“Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kata PH mampu menang 100 kerusi kemudian Rafizi pula kata boleh menang 80 kerusi. Dia dan Anwar pun tidak nampak ada persefahaman,” katanya yang ditemui selepas turun berkempen membantu calon BN Parlimen Pagoh, Datuk Seri Razali Ibrahim di Grisek, hari ini.
Semalam, Rafizi yang merupakan Timbalan Presiden PKR mendakwa, PH yakin mampu menyapu bersih 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, selain 19 daripada 22 kerusi di Selangor pada PRU15.
Beliau berkata, pihaknya turut menjangkakan PH bakal melakukan kejutan besar di Negeri Sembilan, selain berpotensi memenangi 13 hingga 15 kerusi di Johor.
Katanya, bacaan itu diperoleh berdasarkan kajian Invoke Malaysia, dengan mengambil kira situasi semasa.