Dakwaan Penyokong Najib Kecewa Propaganda Pihak ‘Sana’

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan bahawa seramai 300,000 penyokong Datuk Seri Najib Razak menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sebaliknya beliau menegaskan dakwaan itu hanyalah propaganda menghangatkan lagi kempen PRN kononnya UMNO hilang keyakinan rakyat.

Apa yang lebih penting, perkara itu juga dinafikan oleh Najib melalui anaknya, Nooryana Najwa baru-baru ini.

“Sebagaimana disebut oleh Nooryana sendiri yang membawa mesej daripada Najib, beliau tidak mengiktiraf kumpuian itu dan beliau memberikan dokongan yang kuat kepada Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Jadi apabila ketua kepada kumpulan itu kononnya suruh menyokong yang sebelah sana, ertinya hatinya tidak bersama kita dan ini adalah propaganda pihak sana (PN),” katanya ketika ditemui pemberita selepas bertemu jentera parti BN dan PH di Port Dickson, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Turut sama calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon DUN Bagan Pinang, Mohd Najib Mohd Isa.

Sebelum ini Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mendakwa kumpulan itu beralih arah dan mahu menyokong PN kononnya akibat keadilan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dipandang remeh oleh kepimpinan tertinggi UMNO pada masa ini.

Menepis dakwaan itu Ahmad Zahid berkata Najib juga mempunyai pandangan sama dengan Nooryana dan dua anaknya lagi, Datuk Mohd Nizar dan Datuk Mohd Nazifuddin.

“Saya yakin bukan sahaja kenyataan Nooryanaa, kenyataan Nazif dan kenyataan Nizar sendiri (bermakna) tiga anakanda beliau yang terlibat dalam politik ini konsisten dan itulah mesej yang datang dari Najib.

“Ini dan juga (disampaikan) melalui peguam yang melontarkan pandangan ini melalui saluran media rasmi oleh Bossku,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles