Dakwaan Minit Mesyuarat JAC Bocor, Fahmi Beritahu Media Hati-Hati Buat Laporan

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menegaskan beliau tidak dapat mengesahkan kesahihan petikan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bertarikh 16 Mei 2025 yang tersebar sejak semalam.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, sekiranya dokumen tersebut sahih dan tergolong sebagai dokumen terperingkat, maka ia tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan tidak boleh disebarkan sesuka hati.

“Saya tidak boleh sahkan sama ada dokumen yang tersebar itu sahih atau tidak.

“Pada masa sama, jika ia dokumen yang sahih dan terperingkat, maksudnya OSA terpakai. Jadi kita perlu berwaspada, terutama rakan-rakan media, saya minta berhati-hati dan jangan sebar jika ia dokumen rahsia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program “IPRM AI Festival 2025, Global PR AI Strategic Communication Insights, YOU & AI: Meet @ Bangsar!” di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri hari ini.

Semalam, petikan minit mesyuarat JAC yang dikatakan mengandungi dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim susulan persaraan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah tersebar luas di media sosial, selepas ia didedahkan di platform Reddit.com.

Kandungan minit tersebut dilapor selari dengan dakwaan dalam laporan polis pada Jun lalu yang dibuat bagi pihak seorang hakim kanan, sekali gus menimbulkan keresahan berhubung integriti sistem kehakiman negara.

Susulan pendedahan itu, sembilan Ahli Parlimen PKR yang diketuai Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli minggu lalu menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) meneliti dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dakwaan yang timbul daripada pendedahan dokumen itu.

“Untuk siasatan, kita serah kepada pihak polis. Setakat ini saya tidak ada maklumat lanjut,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan isu tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa prihatin terhadap sebarang isu yang menimbulkan kegusaran rakyat.

“Biasanya, Perdana Menteri sangat prihatin tentang apa-apa perkara yang berbangkit di khalayak umum, jadi mungkin akan dibincangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi ketika ditanya mengenai gesaan agar Rafizi dan lapan lagi Ahli Parlimen PKR dikenakan tindakan disiplin susulan sidang media mereka berhubung isu kehakiman baru-baru ini, berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh.

BBerkaitan

Latest articles