Dakwaan Mahathir, Mukhriz Bakal Dipecat, PPBM Tunda Mesyuarat

Selepas tersebar ura-ura Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bakal dilucut keahlian parti, PPBM pada semalam menangguhkan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Mesyuarat itu juga didakwa akan dilangsungkan tanpa kehadiran dua beranak berkenaan yang juga Pengerusi dan Timbalan Presiden PPBM.

Penangguhan mesyuarat itu dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya.

Anggota MPT, Datuk Dr Rais Hussin turut mengesahkan perkara itu sambil menambah ‘parti sedang mencari jalan penyelesaian’.

Laporan Malaysiakini menyebut bahawa mesyuarat tersebut disusun oleh anggota PPBM yang tidak menyokong Mahathir, selain tidak menjemput Syed Saddiq Abdul Rahman, Marzuki Yahya, Tariq Ismail Mustafa dan beberapa yang lain.

Mesyuarat itu sepatutnya diadakan selepas Mahathir dan Mukhriz mengkritik keputusan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan bekerjasama membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Umno, PAS, GPS dan beberapa parti lain.

BBerkaitan

Latest articles