Dakwaan Lewat Ambil Tindakan Terhadap Kumpulan The 1975, Ini Jawapan Polis

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan pihaknya tidak dapat mengambil tindakan terhadap kumpulan pop rock, The 1975 kerana kesuntukan masa.

Apatah lagi pihaknya hanya menerima laporan polis dari saksi kejadian pada jam 2 petang keesokkan harinya, sedangkan kumpulan itu telah berlepas pulang ke United Kingdom melalui penerbangan jam 5.30 pagi.

Terdahulu kumpulan itu mencetuskan kontroversi selepas berkelakuan tidak senonoh di pentas Festival Good Vibes 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Jumaat lalu.

“Sebenarnya insiden ini berlaku pada 21 Julai pukul 11.30 malam, kita difahamkan selepas insiden berkenaan, konsert terbabit dihentikan dan kumpulan ini berlepas pulang ke United Kingdom (UK) pukul 5.30 pagi.

“Jadi dalam tempoh enam jam sahaja mereka sudah berlepas pulang ke UKdan laporan polis pertama yang diterima kami adalah pada keesokan hari iaitu pukul 2 petang, jadi kita tidak sempat mengambil tindakan kerana mereka sudah berlepas balik lebih awal,” katanya selepas hadir merasmikan Majlis Penyerahan Bendera sempena Kejohanan World Police dan Fire Games Winnipeg 2023 di Bukit Aman hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan menambah, polis akan berurusan dengan pihak berkuasa UK sekiranya terdapat proses pendakwaan ke atas kumpulan rock itu di negara ini.

“Kalau kita lihat, kesalahan ini adalah kesalahan yang dilakukan di negara ini, jadi kita tidak boleh memohon notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) kecuali melibatkan kesalahan yang besar menyebabkan bunuh atau penculikan, kita akan berurusan dengan pihak UK,” katanya lagi.

Ayob Khan, dalam masa yang sama menasihatkan agar Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Pesembahan Artis Luar Negara (Puspal) lebih sensitif dan berhati-hati di kemudian hari supaya insiden yang sama tidak berulang lagi.

“Dalam perkara berkaitan, polis sudah mengambil 13 keterangan saksi bagi membantu siasatan berhubung tindakan kumpulan vokalis terkemuka itu.

“Enam keterangan diambil dari pengadu, seorang penganjur dan enam daripada orang Puspal dan setakat ini pihak polis sudah menerima sebanyak 18 laporan yang mana lapan daripadanya daripada Kontinjen Selangor dan 10 membabitkan kontinjen luar.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil,” katanya lagi.

Terdahulu, persembahan kumpulan The 1975 itu dihentikan susulan tindakan biadab vokalisnya, Matty Healy yang memperlekehkan undang-undang negara berkenaan LGBT, selain bertindak mencium salah seorang ahli kumpulan lelaki itu di atas pentas.

BBerkaitan

Latest articles